Niaga hadapan emas didagangkan dalam jajaran sempit
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dalam jajaran sempit minggu ini berikutan pelabur dijangka kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) minggu ini selain menjejaki prestasi niaga hadapan emas COMEX.
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Lee Pei Wan berkata, para pelabur akan memantau rapat minit mesyuarat FOMC sebagai ukuran bagi pergerakan emas yang seterusnya.
Selain itu, pendapatan runcit di AS pada minggu ini akan turut menjadi tumpuan.
Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, emas dijangka merosot minggu ini sekiranya hasil bon Perbendaharaan AS dan dolar US meningkat.
Beliau berkata susulan hasil AS meningkat, emas dijangka disokong sama ada oleh kenyataan Rizab Persekutuan AS yang memihak kepada kadar faedah rendah, sekali gus hasil berkurangan atau kenaikan ketara kes Covid-19.
“Bagaimanapun, saya berpendapat sukar untuk melepasi US$2,000 seauns dalam masa terdekat apabila berita positif mengenai vaksin menjadi tajuk utama.
“Politik akan sekali lagi menjadi asas memandangkan Kongres AS terus teragak-agak mengenai pelan rangsangan. Sekiranya pelan rangsangan direalisasikan, ia boleh menyokong dolar US untuk berada dalam kecenderungan kukuh, namun tidak bagus untuk emas bagi jangka pendek,” katanya kepada Bernama.
Berasaskan Jumaat hingga Jumaat, kontrak Ogos 2020, September 2020 dan Oktober 2020 masing-masing turun 131 mata kepada RM260.00, RM258.45 dan RM259.70 segram.
Jumlah dagangan adalah 14 lot lebih tinggi bernilai RM368,250 berbanding satu lot bernilai RM27,150 sebelum ini, manakala kepentingan terbuka rendah kepada 31 kontrak daripada 48 kontrak.
Sementara itu, harga emas fizikal merosot RM14.83 kepada RM253.70 segram pada Jumaat berbanding RM268.53 segram pada Jumaat lepas.- Bernama