LANGKAWI: Hab coklat Langkawi dijangka meningkatkan sumbangan sektor pembuatan coklat dan produk koko negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, hab itu bakal merancakkan pembangunan sektor hiliran koko dan mempromosi coklat buatan tempatan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan aktiviti pengeluaran produk coklat.
Menurutnya, sektor pembuatan coklat dan produk koko mencatat pendapatan nilai eksport sebanyak RM1.14 bilion iaitu 17.3 peratus pada 2019, peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Hab coklat Langkawi merupakan satu kaedah untuk mempromosikan sektor pembuatan dan produk koko negara. Kita akan bina rangkaian setempat dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Sebagai langkah awal, setiap peserta terlibat akan menerima bantuan geran sebanyak RM3,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan dan Pelancaran Langkawi sebagai Hab Coklat, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Dr. Aliakbar Gulasan.
Mengulas mengenai pemilihan Langkawi sebagai hab coklat, Mohd Khairuddin berkata, ia adalah sejajar dengan perkembangan pulau bebas cukai ini sebagai pusat peranginan tersohor negara dengan jumlah kemasukan pelancong melebihi 3.6 juta orang sejak 2014 dan hampir empat juta orang pada 2019.
“Hab coklat Langkawi juga adalah selari dengan hasrat kementerian menjadikan Malaysia sebagai ‘King of Chocolate’ di rantau Asia,” katanya.- Bernama