
PETRA JAYA: Sarawak kini menetapkan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu sebanyak RM1,198 bagi memperluas capaian bantuan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keputusan tersebut dimuktamadkan melalui mesyuarat Kabinet semalam selepas beliau mengemukakan kertas cadangan penyelarasan PGK untuk diluluskan.
Menurutnya, kadar baharu itu menggantikan paras lama sebanyak RM990 yang telah digunapakai sejak 2014, manakala skim kebajikan di peringkat persekutuan sudah lama menggunakan PGK 2022 iaitu RM1,198.
“Penyelarasan ini dilakukan agar kedua-dua skim negeri dan persekutuan selari, sekali gus menghapuskan sebarang kekeliruan dalam urusan permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, semalam.
Dengan pelaksanaan PGK baharu tersebut, lebih banyak isi rumah berpendapatan rendah kini layak memohon pelbagai bantuan bulanan termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) bekerja dan tidak bekerja serta Bantuan Pesakit Terlantar.
Fatimah menjelaskan, kebanyakan permohonan diterima daripada ibu tunggal, namun bapa tunggal yang menjaga anak kecil turut diberikan kelayakan sekiranya pendapatan isi rumah mereka di bawah paras yang ditetapkan.
Beliau menambah, skim Bantuan Am turut dikekalkan bagi memberi sokongan kepada mereka yang tidak menepati syarat khusus bantuan lain tetapi masih termasuk dalam kategori miskin, contohnya individu yang miskin tetapi belum mencapai umur 60 tahun.
“Sebelum ini ramai pemohon tidak berjaya kerana PGK lama yang lebih rendah, namun dengan penetapan kadar baharu ini lebih ramai akan menerima manfaat yang sewajarnya.
“Keutamaan kita adalah memastikan mereka yang benar-benar layak tidak tercicir daripada bantuan.
“Ini merupakan salah satu langkah memperkukuh jaringan kebajikan sosial di Sarawak,” tambahnya.
Oleh Amanda L.