
KUCHING: ALUMASTER, di bawah jenama warisan Classic Emas, mencipta sejarah apabila menjadi syarikat aluminium pertama di Sarawak menerima pensijilan SIRIM dan CIDB bagi sistem pintu gelangsar dan tingkap berbingkai aluminium, mengikut piawaian MS832:2022 dan MS1017:2022.
Pengarah Urusan Classic Emas dan ALUMASTER, William Koh, berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat syarikat tempatan ke tahap antarabangsa, malah memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk yang digunakan dalam kediaman mereka terbukti selamat, tahan lama dan mesra alam.
“Sejak empat dekad lalu, kami melihat perubahan dalam reka bentuk pembinaan, khususnya bangunan tinggi.
“Pensijilan ini memastikan sistem pintu dan tingkap kami diuji mengikut piawaian baharu yang ditetapkan oleh CIDB dan SIRIM. Ini penting kerana pengguna berhak mendapat produk yang benar-benar menepati aspek keselamatan dan kualiti,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2025, hari ini.

Beliau menjelaskan proses mendapatkan pengiktirafan tersebut mengambil masa hampir satu setengah tahun kerana piawaian berkenaan baru digazetkan pada 2023.
Langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan mutu pembinaan negara dengan mengawal selia kategori produk seperti pintu dan tingkap aluminium yang sebelum ini tidak diatur.
Produk yang diperakui merangkumi ALUMASTER PCW 1000 Series (tingkap) dan PSD 1000 Series (pintu gelangsar), yang diuji mampu menahan beban berat serta tiupan angin kencang sehingga sesuai dipasang pada bangunan tinggi.
Selain itu, ia dilengkapi teknologi kaca berganda untuk mengurangkan haba dan bunyi bising, sekali gus menawarkan keselesaan serta penjimatan tenaga kepada penghuni.
“Di bandar, bunyi trafik antara cabaran utama. Dengan teknologi kaca berganda, pengguna boleh menikmati suasana lebih tenang di dalam rumah.
“Malah, sistem ini juga membantu mengurangkan penggunaan tenaga kerana haba dapat disekat tanpa menjejaskan pencahayaan semula jadi,” tambah Koh.
Beliau menekankan bahawa aluminium adalah bahan yang lestari kerana boleh dikitar semula dengan kadar keberkesanan lebih 90 peratus, menjadikannya pilihan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar berbanding bahan binaan tradisional lain.
Dengan pencapaian ini, ALUMASTER bukan sahaja mengangkat nama Sarawak sebagai peneraju dalam produk aluminium berkualiti, malah menegaskan komitmen syarikat tempatan untuk membina keyakinan pengguna melalui kualiti yang diiktiraf.
Oleh Adele Rissa