Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Starllient Buma, lelaki di sebalik sentuhan seni dunia kecantikan
  • INSPIRASI

Eksklusif: Starllient Buma, lelaki di sebalik sentuhan seni dunia kecantikan

Utusan Sarawak 7 hours ago
HASIL sentuhan Starllient Buma.

KOTA SAMARAHAN: Di sebalik wajah-wajah yang menghiasi pentas peragaan, majlis berprestij dan kaca televisyen, tersimpan sentuhan seni seorang jurusolek bernama Starllient Buma, atau lebih mesra disapa Star. 

Namanya kini semakin dikenali dalam dunia solekan, namun perjalanan yang dilalui bukan semudah yang disangka.

Dari palet pembayang mata murah yang dibeli hasil duit belanja sekolah, kini beliau berdiri sebagai jurusolek profesional yang menata rias selebriti dan ratu cantik antarabangsa.

Minat Star terhadap solekan mula bercambah ketika di bangku sekolah. Semasa remaja lain sibuk berlari di padang atau menyiapkan tugasan kelas, Star lebih tertarik dengan warna dan kreativiti.

“Saya suka bermain dengan warna. Kadang-kadang, saya akan ambil adik-beradik atau kawan untuk cuba teknik solekan baru,” katanya sambil ketawa kecil. Apa yang dianggap ‘sekadar suka-suka’ pada waktu itu rupa-rupanya menjadi jalan hidupnya kini.

Sejak tingkatan empat, beliau sudah mula menabung wang belanja sekolah yang diberikan oleh ayahnya.

SIMBOL PERJUANGAN

Duit yang sepatutnya digunakan untuk makan di kantin, disimpan sedikit demi sedikit demi membeli barangan solekan. 

Pembayang mata murah yang dibeli di kedai serba guna menjadi alat pertama dalam koleksinya, dan hingga kini masih disimpan sebagai tanda kenangan.

“Saya simpan pembayang mata itu sebagai simbol perjuangan. Setiap kali saya lihat, saya akan ingat betapa susahnya dulu untuk beli satu barang mekap,” ujarnya. 

Pada 2011, ketika berusia 18 tahun dan baru sahaja menamatkan tingkatan lima, Star mula serius menjejakkan kaki ke dunia solekan.

Perjalanan kerjaya ini mula mendapat perhatian umum pada 2019. Star memberanikan diri menyertai Anugera Jurusolek Malaysia, sebuah pertandingan berprestij yang menghimpunkan ratusan jurusolek dari seluruh negara. 

Pada awalnya, beliau sekadar mahu mencuba nasib dan menguji kemampuan. Tidak pernah terlintas untuk mara sejauh itu. Namun takdir berkata lain.

KENANGAN PENUH EMOSI

Dari lebih 100 penyertaan, namanya berjaya menembusi kelompok empat puluh terbaik, seterusnya ke pentas akhir, sebelum diumumkan sebagai naib juara. 

BANGGA… Starllient Buma ketika menyertai pertandingan Anugerah Jurusolek Malaysia 2019, sekali gus dinobatkan sebagai naib juara.

Suasana malam itu masih segar dalam ingatannya — debaran di dada, lampu sorot yang terang, dan tepukan gemuruh penonton.

“Saat diumumkan, saya benar-benar menangis. Saya rasa semua penat lelah saya akhirnya terbayar,” kenang Star penuh emosi.

Kejayaan itu mengubah hidupnya. Jika sebelum ini beliau hanya dikenali dalam kelompok kecil, selepas pertandingan tersebut banyak pintu mula terbuka.

Tawaran kerja datang bukan sahaja dari sekitar Kuala Lumpur, tetapi juga dari negeri lain dan luar negara.

Beliau pernah menatarias tetamu kenamaan di Malaysia, dan peluang juga membawanya hingga ke Brunei Darussalam.

NAMA SEMAKIN KUKUH

Di Kuala Lumpur pula, namanya semakin kukuh apabila dipilih sebagai sebahagian daripada pasukan glam pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini untuk Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) selama empat tahun berturut-turut. 

Di balik pentas, di antara hiruk pikuk model, pereka dan lampu kamera, Star berdiri tenang dengan berus di tangan.

Hasil karyanya berjalan di atas pentas utama, disaksikan ribuan mata.

“Setiap kali lihat model keluar dengan solekan yang saya hasilkan, saya rasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan,” katanya penuh bangga.

Tidak berhenti di situ, sentuhan seni Star turut melakar sejarah peribadi apabila diberi peluang menata rias wajah ratu cantik dunia seperti Ratu Universe Singapura dan Ratu Grand Malaysia.

Baginya, pengalaman bekerja bersama figura bertaraf antarabangsa adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sewaktu mula-mula memegang palet murah belasan tahun lalu.

Cabaran yang lebih berat adalah soal penerimaan keluarga. Pada awalnya, sokongan tidak berpihak kepadanya.

Ada suara-suara yang berkata kerjaya ini tidak sesuai untuk lelaki. Ada juga yang menyindir bahawa dunia solekan adalah pekerjaan perempuan.

SENI MILIK SESIAPA SAHAJA

Kata-kata itu menyakitkan, tetapi tidak mematahkan semangatnya.

“Masa itu saya memang rasa jatuh. Tapi saya janji pada diri sendiri, satu hari nanti saya akan buktikan bidang ini boleh berdiri sama tinggi dengan kerjaya lain,” ujarnya.

SAAT diumum kemenangan.

Bertahun kemudian, janji itu ditepati. Hari ini, keluarga yang dahulu meragui kini menjadi penyokong paling kuat, malah turut berbangga dengan setiap pencapaiannya.

Bagi Star, menjadi lelaki dalam dunia solekan bukan lagi isu. Baginya, seni ini milik sesiapa sahaja yang berani bermimpi.

Solekan tidak seharusnya diukur melalui jantina, sebaliknya melalui bakat, kreativiti dan keikhlasan berkarya.

“Solekan bagi saya bukan sekadar mencantikkan wajah, tetapi membina keyakinan dalam diri seseorang. Itu adalah kepuasan sebenar,” katanya dengan penuh yakin.

MINAT MAMPU UBAH NASIB

Kini, selepas lima belas tahun, Star melihat kembali perjalanan panjangnya dengan penuh syukur.

Dari seorang remaja lelaki yang menabung duit belanja sekolah demi membeli pembayang mata murah, beliau kini berdiri di belakang wajah-wajah besar dunia fesyen dan kecantikan. 

Dari Kuala Lumpur hingga ke Brunei, dari pentas pertandingan hingga ke pentas peragaan fesyen

antarabangsa, setiap langkahnya menjadi bukti bahawa minat yang diiringi dengan kesungguhan mampu mengubah nasib seseorang.

Kenangan manisnya banyak sekali — dari kemenangan di pentas Anugerah Jurusolek Malaysia 2019, pengalaman bekerja dengan pereka fesyen terkemuka Rizman Ruzaini, hingga ke peluang menatarias figura ternama seperti Ratu Universe Singapura.

Namun, bagi Star, kejayaan terbesar adalah apabila keluarganya akhirnya berkata dengan penuh bangga, “Kami bangga dengan kamu.”

Hari ini, setiap sentuhan berus Star bukan sekadar tentang mekap. Ia adalah kisah hidupnya sendiri yang diterjemahkan melalui warna, cahaya dan keyakinan.

Dari sebuah mimpi kecil seorang remaja di bangku sekolah, kini kisah itu terlukis indah di pentas dunia.

Oleh Norman B

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Zarina Zainuddin antara wanita inspirasi terima Anugerah Worthy Wonder Women 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.