
SIBU: Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) telah menganjurkan Bengkel Penilaian Awal Projek (VAE) bagi memperkukuh kerjasama antara pelbagai agensi pelaksana projek.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Ogos di Hotel Tanahmas itu dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, selaku Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur MiRRDA.
Antara agensi terbabit ialah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan (SIMU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (L&S), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Pejabat Daerah Selangau dan Kanowit, selain agensi teknikal serta pelaksana tempatan.
Menurut Gira, bengkel itu memberi fokus kepada proses mengenal pasti cadangan projek infrastruktur di bawah MiRRDA sebelum dibawa ke Jawatankuasa Infrastruktur untuk dimuktamadkan dan dikemukakan kepada EPU bagi penilaian serta kelulusan.
“Beberapa isu telah dikenal pasti sepanjang bengkel, antaranya kos utiliti dan pengambilan tanah yang tidak dimasukkan dalam anggaran asal serta cadangan projek yang belum ada lokasi tepat, sekali gus menyukarkan agensi teknikal membuat perancangan,” katanya.
Turut diteliti ialah isu cadangan projek bertindih dengan kawasan perlindungan penuh (Total Protected Area) serta projek yang dikemukakan dengan dua permohonan SPA berasingan yang boleh menimbulkan kelewatan kelulusan.
Di samping itu, Gira berkata MiRRDA komited memastikan setiap projek di Wilayah Rajang dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti demi manfaat penduduk setempat.
“Projek yang dirancang bukan sahaja memberi faedah jangka panjang kepada rakyat malah menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terbabit kerana sumbangan idea dan komitmen mereka menjadi pemangkin utama kepada kejayaan bengkel itu.
Turut hadir pada bengkel tersebut, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian MiRRDA, serta ADUN Ngemah, Anyi Jana yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penempatan Kawasan RASCOM.
Oleh Tarani Lanting