
KAJANG: Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) berkuat kuasa secara rasmi pada hari ini, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mewartakan tarikh hari ini bagi penguatkuasaan akta berkenaan.
“Penguatkuasaan akta ini bukan perkara mudah, dengan adanya pindaan ini banyak bidang tugas termasuk tanggungjawab AADK diperluas dari segi rawatan dan penguatkuasaan. Banyak perkara juga yang telah diperhalus dari segi penyediaan kaedah, perintah tetap dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan AADK di sini hari ini.
Untuk rekod, Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 (nama asal sebelum diwartakan), diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2024 dan di Dewan Negara pada 1 Ogos 2024.
RUU berkenaan bertujuan meminda akta sedia ada dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan.
Pindaan itu juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan, atau penyalah guna dadah atau bahan.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Kampung Angkat Bebas Dadah (KABD), iaitu inisiatif terbaharu AADK dengan menjadikan satu negeri mempunyai satu KABD di seluruh negara sebagai manifestasi komitmen agensi itu dalam usaha memerangi ancaman dadah.
Dimulakan sebagai projek rintis, inisiatif terbabit akan melibatkan kerjasama rentas agensi bersama dengan pengarah AADK negeri serta ketua kampung atau penghulu, sebagai langkah intervensi awal dan memberikan sokongan kepada klien dalam komuniti.
“(Inisiatif ini) menjadi tanggungjawab pengarah negeri … mereka kenal pasti kawasan berisiko dadah yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, sederhana dan rendah serta kampung yang berpotensi ada risiko kemudian.
“Seterusnya, kita libatkan diri dengan masyarakat, ketua kampung, penghulu dan komuniti sebagai rakan strategik AADK. Saya juga mahu laporan bagi tempoh enam bulan pertama diberikan, tidak semestinya 100 peratus berjaya, tetapi sekurang-kurangnya ada hasil daripada inisiatif itu,” katanya.
Beliau berkata menerusi inisiatif sama, AADK juga memberikan perhatian khusus kepada komuniti di kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli bagi memastikan komuniti itu tidak terpinggir daripada menerima perkhidmatan pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah oleh AADK.– Bernama