
KUCHING: Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang menjalankan aktiviti pemetaan pengamal serta amalan perubatan tradisional melibatkan Orang Asli Semenanjung, anak negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata usaha berkenaan dijalankan dengan kerjasama universiti tempatan, pembuat dasar, komuniti pengamal, wakil suku kaum dan penyelidik tempatan.
“Usaha pemetaan atau proses kenal pasti ini dibuat bagi membentuk asas ke arah pembangunan pelan strategik pengiktirafan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Jalinan MADANI bersama dengan Pengamal Perubatan Tradisional Anak Negeri Sarawak di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap, Lukanisman berkata perubatan tradisional tidak hanya sekadar satu sistem rawatan, tetapi juga sebahagian daripada gaya hidup serta sokongan rohani, emosi dan sosial masyarakat.
Justeru, katanya persefahaman antara pendekatan perubatan moden dengan tradisional adalah penting bagi merealisasikan penjagaan kesihatan yang lebih holistik dan inklusif.
“Penganjuran program seperti ini secara tidak langsung memberikan peluang untuk memahami dengan lebih mendalam amalan perubatan tradisional anak negeri Sarawak.
“Pendekatan berasaskan komuniti seperti sesi dialog, perkongsian ilmu dan aktiviti pemetaan diharap dapat memastikan amalan warisan ini dapat terus dipelihara dan diberi pengiktirafan sewajarnya pada peringkat lebih tinggi,” katanya.– Bernama