
KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan dan jadual padatnya sebagai anak seni dan usahawan, Zarina Zainuddin tidak pernah sekalipun mengeluh atau menjadikannya sebagai alasan untuk membesarkan dua anak autistiknya Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) dengan penuh kasih sayang serta ketabahan.
Kecekalan pelakon ini dalam menyeimbangkan kerjaya seni, perniagaan dan tanggungjawabnya sebagai ibu sehingga menjadi inspirasi ramai, akhirnya telah melayakannya untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Worthy Promise of Home pada The Worthy Wonder Women Award 2025, pada Khamis.


PELAKON dan usahawan, Zarina Zainuddin bercakap ketika sidang media selepas Anugerah Worthy Wonder Women 2025 bersempena Hari Wanita Kebangsaan di KL Wellness City Gallery hari ini. Foto BERNAMA
Bersyukur atas pengiktirafan yang meraikan pencapaian luar biasa kepimpinan wanita bersempena dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan ini, Zarina menyifatkan anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga refleksi perjalanannya sebagai seorang ibu, anak seni dan usahawan.
“Peranan ibu bapa itu penting, kena ambil tahu tentang anak dan keluarga supaya kita sentiasa ada walaupun dalam keadaan apapun. Walau buruk macam mana pun anak, kita kena terima dan perbaikinya.
“Jika anak ada masalah, itu sebenarnya berpunca daripada kita kerana kita biarkan mereka hanyut,” kata ibu kepada empat anak lelaki ini termasuk pasangan kembar Azal dan Azil.
Menerima anugerah itu di KL Wellness City Gallery di sini, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini mengakui selesa memilih pendekatan kasih sayang dalam mendidik anak-anak terutama dalam menghadapi cabaran pengaruh media sosial masa kini.

“Jangan buat anak takut dengan kita. Saya terapkan anak-anak seperti kawan supaya mereka boleh berkongsi apa sahaja masalah dan apabila kita sentiasa ada bersama mereka, insya-Allah mereka akan terus hormat dan sayang kita,” katanya yang turut aktif memberi ceramah pengalaman membesarkan anak autistiknya itu.
Dalam pada itu, pendakwah, pendidik dan Pengasas Tahfiz Madinatul Huffaz Datuk Dr Norhafizah Musa yang menerima pengiktirafan Anugerah Worthy Heart of Wisdom, menyifatkan penghargaan itu membuka matanya bahawa wanita berperanan besar sama ada di rumah, sekolah ataupun dalam industri.
“Anugerah ini membuka mata saya bahawa wanita berperanan besar sama ada di rumah, sekolah atau industri. ‘Software’ paling penting bagi seorang muslimah ialah keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Setiap orang ada kelebihan masing-masing, jadi gilaplah potensi itu,” katanya.

Sementara itu, artis, pendidik dan usahawan Dr Soo Wincci dianugerahi Anugerah Worthy Community Impact atas sumbangannya kepada komuniti dan dedikasi dalam memberi inspirasi kepada generasi muda.
Mengakui pernah hampir berputus asa selepas industri seni terjejas akibat pandemik COVID-19, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini menyifatkan anugerah itu sebagai dorongan untuk terus berkhidmat.
“Banyak kali saya rasa nak berhenti tapi penghargaan seperti ini memberi semangat baharu. Wonder Women bukan tentang diva tetapi tentang mereka yang benar-benar berbakti. Untuk jadi ‘superhero’, kita kena bantu ramai orang walaupun dalam langkah kecil,” katanya.

Selain tiga tokoh berkenaan, Anugerah Worthy Wonder Women Award 2025 turut mengiktiraf tujuh tokoh lain, iaitu Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Datuk Seri Rohani Abdul Karim bagi Anugerah Worthy Women Icon, sementara Pengasas Alpha IVF dan Women’s Specialists serta Kuala Lumpur Wellness City Datuk Dr. Colin Lee bagi kategori Anugerah Worthy Inspirational.
Turut tersenarai Pengasas FM Media Communications merangkap penerbit majalah The CEO, Ema Malina Abu Bakar Tajudin (Anugerah Worthy Youth Creative); Pengarah Urusan LSFP Sdn Bhd Laila Johari (Anugerah Worthy Mentor); Timbalan Naib Canselor University Binary Puan Sri Datin Prof. Dr. Rohini Devi (Anugerah Worthy Visionary); Pengasas Sekolah Cempaka Datuk Freida Mohd Pilus (Anugerah Worthy Entrepreneurship); pegawai kanan polis bersara DCP (B) Datuk Fatimah Abdul Hamid (Anugerah Worthy Leadership).– Bernama