
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual bakal merasmikan Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2025 yang akan berlangsung dari 30 September hingga 1 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Edisi keempat persidangan tersebut bakal menghimpunkan seramai 21 pakar dari 12 negara yang komited dalam usaha penyelidikan, kawalan dan pembasmian rabies di rantau ini.
Dengan tema ‘Rabies Free Borneo: Uniting People, Animals and Communities’, persidangan berkenaan akan menampilkan sesi pleno dan forum panel yang memberi tumpuan kepada usaha berterusan menentang rabies di Sarawak, selain menekankan kepentingan kerjasama serantau serta inovasi terkini dalam pencegahan dan kawalan penyakit tersebut.
Menurut Abang Johari, penganjuran persidangan itu mencerminkan komitmen Sarawak untuk melindungi komuniti, haiwan peliharaan dan hidupan liar.
“Saya menggesa semua pihak berkepentingan, pemimpin komuniti dan orang ramai agar turut serta menyokong usaha kolektif ini.
“Bersama-sama kita mampu menghapuskan rabies sebagai ancaman kesihatan awam dan menjamin masa depan lebih selamat bagi Sarawak serta seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
RIB 2025 juga mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam bidang kawalan penyakit serta menzahirkan kepentingan kerjasama serantau bagi membanteras rabies.
Usaha ini turut memberi kuasa kepada komuniti tempatan untuk meningkatkan kesedaran, melaksanakan program vaksinasi dan pemantauan berkesan demi memperkasa usaha bersama di seluruh Borneo dan seterusnya.