Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • RMK13: Kajian had persaraan penjawat awam kepada 65 tahun
  • NASIONAL

RMK13: Kajian had persaraan penjawat awam kepada 65 tahun

Utusan Sarawak 1 day ago
PARA penjawat awam melafazkan ikrar pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 “Perkhidmatan Awam MADANI” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Kerajaan akan mengkaji cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata perkara itu sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembentangan RMK13 di Parlimen, namun kajian hanya akan dimulakan selepas pelaksanaan rancangan itu.

“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi sebarang keputusan kerana kajian akan bermula dalam RMK13 dan dijangka selesai selepas rancangan itu berakhir.

“Bagaimanapun, JPA akan memulakan dapatan awal lebih awal dengan membuat perbandingan umur persaraan di negara lain sebagai penanda aras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni isteri pesara Majlis Perbandaran Kota Bharu Allahyarham Kamal Ariffin Mohamed, Siti Rubiah Mohammad pada Program Santuni Pesara di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata beberapa negara telah menetapkan umur persaraan lebih tinggi berbanding Malaysia, antaranya Singapura (62 tahun) dan negara-negara Scandinavia sehingga 70 tahun. Malah, Malaysia sendiri mempunyai skim tertentu dengan umur persaraan lebih panjang, seperti hakim yang bersara pada usia 66 tahun.

“Justeru, ini bukan perkara luar biasa untuk kerajaan pertimbangkan. Bagaimanapun, ia memerlukan masa panjang dan tidak akan dilaksanakan secara bersendirian.

“JPA akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk persatuan pesara, Cuepacs serta persatuan belia, kerana mereka juga bakal terlibat dalam dasar ini,” katanya.

Mengulas pandangan bahawa peningkatan umur persaraan boleh menjejaskan produktiviti, beliau berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan awal kerana ada negara lain yang berjaya mengekalkan produktiviti walaupun umur persaraan mereka lebih panjang,” katanya.

Perdana Menteri semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat pada 31 Julai, memaklumkan bahawa had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara tua.

Perkara itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK13, yang menekankan aspek keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk seluruh rakyat.

Perdana Menteri turut menyatakan pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan dan kesan terhadap peluang pekerjaan perlu dipertimbangkan, sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Pada Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.

Menurut Azalina, menjadi satu kerugian sekiranya individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun, sedangkan mereka masih sihat, bertenaga dan mampu menyumbang secara produktif kepada tenaga kerja negara.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, yang juga merupakan umur persaraan minimum bagi sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.– Bernama

Continue Reading

Previous: Fadhlina sedia teliti pandangan semua pihak tangani isu buli
Next: SPRM cadang perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiar secara langsung

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.