

BEBERAPA kenderaan disita atas pelbagai kesalahan, khususnya cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
KUCHING: Hampir sebulan Ops Kenderaan Mewah dilaksanakan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak berjaya menyita sebanyak 28 kenderaan mewah pelbagai model dan buatan.
Kesemua kenderaan berkenaan disita atas pelbagai kesalahan, khususnya cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut JPJ Sarawak, kesalahan seperti ini tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan kenderaan yang sering menjadi simbol status dan lambang kemewahan.
JPJ Sarawak turut percaya masih terdapat sejumlah kenderaan mewah di negeri ini yang belum memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans, namun masih bebas digunakan di jalan raya.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menggesa semua pemilik kenderaan, khususnya kenderaan mewah, agar memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui sebelum digunakan.
JPJ Sarawak menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.