
SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 dan 26 September ini sebagai tarikh seorang lelaki membela diri atas pertuduhan mengedar 717.67 gram syabu, dua tahun lepas.
Hakim Wong Siong Tung menetapkan tarikh tersebut setelah memutuskan pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Wong Kieng Li, 32, di akhir pendakwaan kes.
Sepanjang pendakwaan kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto, pihak pendakwa telah memanggil tujuh saksi bagi memberi keterangan.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, tertakluk kepada penilaian maksimum dan setelah mempertimbangkan penghujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, berkenaan 747.67 gram Methamphetamine.
“Bukti menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah. dengan itu mencetuskan tanggapan di bawah Seksyen 37(d) Akta sama bahawa dia memiliki dan mengetahui berkenaan dadah tersebut.
“Bukti selanjutnya turut membuktikan bahawa tertuduh mengedarkan dadah terbabit pada masa tersebut. Sehubungan itu, menurut Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Siong Tung.
Sementara itu, Kieng Li yang diwakili peguam Darren Ling memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dan pada masa sama akan memanggil tertuduh sendiri serta ibunya sebagai saksi pembelaan, selain saksi-saksi lain yang perlu seperti yang dimaklumkan oleh pihak pendakwaan.
Ling turut memohon dua hari untuk tertuduh membela diri, yang kemudian ditetapkan mahkamah pada 25 dan 26 September ini.
Terdahulu, Kieng Li didakwa mengedar 717.67 gram Methamphetamine di dalam sebuah kenderaan Perodua Axia di tepi Jalan Oya pada 12 Disember 2023, kira-kira 5.00 petang.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah subseksyen 39B(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Oleh Akun Giman