
KES melingkari mangsa buli Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, seharusnya membuka mata kepada semua terutama pihak berkuasa.
Tanpa mengambil kira apa terjadi atau pengakhirannya pada kes mahkamah dan inkues nanti, sesuatu harus dipelajari untuk diambil iktibar.
Selidiki dan ketahuilah sebab mengapa gelombang ‘Justice For Zara’ tercetus dengan perhimpunan tanpa paksa berlaku di seluruh negara.

Himpunan solidariti ‘Keadilan untuk Zara’ yang diadakan di merata tempat dari Sabah hingga ke Semenanjung dari Kota Bharu hingga ke Johor Bahru, yang mengundang kehadiran ribuan orang ialah cuma mahukan jawapan pasti.
Turut dikongsikan di media sosial himpunan solidariti seumpamanya melimpah ke Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand, malah membabitkan sekumpulan jemaah umrah Malaysia di hadapan Kaabah.
Kelewatan bertindak hingga hampir sebulan dan jawapan meleret-leret pihak yang berkenaan, mengundang kecaman orang ramai.
Pada peringkat awal, pelbagai persoalan timbul termasuk mengaitkan kes itu dengan VVIP, dan menampakkan sesuatu bagaikan ‘disorok’.
Ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai seperti digambarkan melalui komen warganet di media sosial.

Keadaan bertambah parah hingga menimbulkan pelbagai persepsi, diburukkan lagi dengan berita tidak sahih disebarkan terutama dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh seperti tular di media sosial yang kemudiannya didapati tidak benar. Polis sudah menahan ‘pereka cerita’ berkenaan.
Di sebalik pelbagai jaminan diberi oleh pihak polis dan menteri, warga maya pula memberi persepsi bahawa mereka sudah muak dengan pelbagai jaminan, sebaliknya menantikan ada tangkapan dan suspek segera dihadapkan ke muka pengadilan.
Namun, keadaan sedikit reda apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan Selasa lalu akan meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah iaitu semalam.
Isu ini tidak akan berakhir di situ, kerana perhatian seluruh negara akan tertumpu kepada kesudahan kes itu nanti selain menunggu hasil inkues dengan harapan apabila nyawa seseorang melayang, pasti ada yang bertanggungjawab.
LAPORAN POLIS
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Terdahulu, dia dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Pada 3 Ogos lalu, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, membuat laporan polis di Balai Polis Sipitang selepas mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Kuburnya kemudian digali semula untuk proses bedah siasat dan inkues bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kematian Zara Qairina mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Pagi semalam, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Kesemua remaja berusia bawah 18 tahun itu, yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara jam kira-kira 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pasukan peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan, manakala baki empat tertuduh lagi diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
DEMI ‘CONTENT’
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September dan 16 Oktober depan, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Di sebalik itu semua, suatu hal yang agak janggal berikutan ledakan teknologi maklumat dan kepesatan dunia media sosial, kini mempengaruhi ramai pihak berebut-rebut mencari ‘content’ demi meraih ramai pengikut dan memperoleh hasil melalui platform yang digunakan.
Bagaimanapun, dalam keghairahan berbuat demikian, maka muncul ramai ‘wartawan jadian’ melaporkan isu semasa yang diminati ramai dan mudah mendapat perhatian.
Saya namakan mereka sebagai ‘wartawan’ kerana memang begitulah tugas wartawan sebenar, melaporkan berita dari semasa ke semasa.
Malangnya, wartawan tidak terlatih ini @ wartawan jadian tidak berpandukan kepada etika kewartawanan sebenar.
Asal ada ‘content’ sebagai pemikat sahaja, boleh siar. Sesetengahnya tidak kisah apa yang dipaparkan itu betul, sahih dan benar-benar belaka.
Contoh paling ketara adalah ‘liputan’ melibatkan kes Zara Qairina ini. Pertama – seorang guru Bahasa Inggeris (BI) mengakui kandungan TikToknya bahawa Zara Qairina mati dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya sekadar ‘content’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan perkara itu semasa menyampaikan taklimat khas menteri di Dewan Rakyat Isnin lalu.
“Bila kita soal siasat tanya kenapa mesti buat begitu? Dia jawab, saya nak buat content saja. Guru Bahasa Inggeris itu, kita tangkap dan kita akan dakwa kalau Peguam Negara bersetuju untuk tuduh.
TELAN BULAT-BULAT
“Tapi ‘content’ dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan. Saya ingin membawa kepada sentimen yang membengkak dan membentuk gelombang.
“Yang ‘create content’ itu, kita tangkap. Bila kita tanya, dia nak buat content tapi cara dia susun ayat, seolah-olah begitulah punca kematian. Di sinilah saya nak sebut, kita tak boleh berdasarkan kepada sentimen dan emosi,” katanya.
Kedua – video berdurasi dua minit enam saat dikesan dimuat naik pada 15 Ogos lepas di sebuah akaun TikTok dengan tajuk ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’.
Berikutan itu, polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan kenyataan tidak benar berhubung siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata lelaki itu dikesan memuat naik video mengandungi audio perbualan kononnya hasil penemuan bedah siasat yang mendakwa kematian pelajar terbabit adalah pembunuhan terancang.
Katanya, turut dirampas adalah satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes itu.
Suspek yang ditahan pada 10.20 malam Isnin lalu turut direman tiga hari bermula sehingga 21 Ogos ini.
Itulah harga yang perlu dibayar untuk mereka yang menyebarkan berita palsu.
Tidak salah menggunakan media sosial untuk memaparkan aktiviti peribadi…. pos lah apa-apa seperti berjogging, makan durian, nasi lemak tetapi elak jadi ‘wartawan jadian’ melaporkan berita tidak sahih.
Jika berminat nak pos isu tertentu, tidak salah untuk ‘share’ tetapi jangan mereka-reka cerita dalam ‘posting’ yang kesahihan diragui.
AMBIL KESEMPATAN
Kemudian rakan wartawan di Sabah pula mengadu terdapat individu yang bukan wartawan atau pengamal media telah mengganggu liputan rasmi kes Zara Qairina dengan memasuki zon media dan kemudiannya membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk maklumat orang ramai, tetapi dijadikan cara untuk memperoleh keuntungan wang.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata media berdaftar perlu diberi keutamaan bagi membuat liputan sidang media untuk memastikan laporan yang tepat.
Katanya, SJA juga mengambil maklum bahawa dakwaan palsu seperti laporan salah mengenai prosiding undang-undang, telah tersebar daripada sumber tidak sahih, sekali gus menguatkan keperluan supaya akses sidang media mengutamakan media berdaftar.
“Keadaan ini menjejaskan kerja kewartawanan, etika media dan menimbulkan kekeliruan. Kami menggesa penguatkuasaan lebih ketat untuk melindungi wartawan yang sedang bertugas.
“SJA juga menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan kawalan akses di kawasan sensitif seperti mahkamah, dan melarang rakaman di kawasan yang tidak dibenarkan untuk mengelakkan akses media terganggu,” katanya dalam kenyataan.
Mariah berkata SJA juga menyatakan kebimbangan serius susulan laporan gangguan semasa sidang media inkues baru-baru ini, apabila seorang individu tidak dikenali turut berada bersama dengan media arus perdana.
Menurut persatuan itu, dua wartawan wanita melaporkan mereka berasa tidak selamat apabila individu terbabit berdiri terlalu dekat dengan mereka.
“SJA menyeru semua pihak supaya menghormati standard kewartawanan dan batasan undang-undang, laporan yang bertanggungjawab, tidak disensasikan, adalah yang terbaik demi kepentingan awam dan keadilan,” katanya.
Diharapkan isu Zara Qairina ini selesai dengan sempurna tanpa kelompongan demi menegak keadilan dan pelaku menerima hukuman setimpal.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak