
PETRA JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok seludup bernilai keseluruhan RM11.88 juta dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah gudang di Demak Laut Industrial Park, Kuching pada 29 Julai lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, serbuan dilakukan sekitar 4.00 petang hasil maklumat risikan daripada Ibu Pejabat JKDM. Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 12 juta batang rokok disyaki tidak berkastam yang disimpan di premis berkenaan.

“Rokok ini dikategorikan sebagai barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, dan pengimportannya memerlukan permit khas.
“Nilai pasaran rokok sitaan dianggarkan sebanyak RM3.6 juta, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat ialah RM8.28 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM11.88 juta,” jelasnya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan Cina, berusia lingkungan 50-an yang dipercayai pengurus yang juga pemilik gudang turut ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek telah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 sementara menunggu tindakan pendakwaan.
Norizan menjelaskan, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang sebagai tempat penyimpanan dan pengangkutan barangan larangan.
“Sebahagian daripada rokok tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan, manakala sebahagian lagi cuba dihantar ke negara jiran menggunakan dokumen Kastam 8.
“Bagaimanapun, cukai tidak dibayar dan barangan berkenaan kekal disimpan di gudang,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Norizan menggesa orang ramai agar tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan,” tegasnya.
Oleh Adele Rissa