
KUCHING: Usahawan di Sarawak perlu sentiasa berilmu, berani berubah dan bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa agar terus kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.
Timbalan Menteri Kementerian Belia, Sukan dan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat, menegaskan bahawa menuntut ilmu secara berterusan adalah kunci kelangsungan dan kejayaan perniagaan.
“Saya berharap usahawan Sarawak tidak hanya berniaga tanpa asas pengetahuan.
“Tuntutlah ilmu keusahawanan secara berterusan kerana ia akan memberi impak positif kepada pertumbuhan bisnes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Dolhadi Mazuki, ketika merasmikan Seminar Usahawan MADANI: e-Invois anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat Konvensyen & Acara Majma, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa meskipun terdapat kebimbangan dalam kalangan usahawan terhadap pelaksanaan sistem e-Invois, ia sebenarnya tidaklah serumit yang disangka.
“Ada yang merasakan e-Invois ini sukar, tetapi sebenarnya dengan bimbingan yang betul, ia boleh dikuasai dengan mudah.
“Apa yang penting, kita berani mencuba, belajar dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.
“Perubahan digital seperti e-Invois bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan, malah akan memperkukuh daya saing usahawan tempatan di pasaran yang lebih luas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub, menegaskan bahawa INSKEN komited untuk terus membantu usahawan memahami dan menguasai sistem e-Invois.
“Ilmu dan kesedaran menjadi kunci kepada kejayaan sesebuah perniagaan. Tanpa kesedaran, perubahan sukar berlaku, manakala tanpa ilmu pelaksanaan akan terumbang-ambing.
“Sebab itu usaha seperti seminar ini amat penting dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Seminar e-Invois yang berlangsung sehari itu menghimpunkan 362 usahawan berdaftar yang diberi pendedahan mengenai pengenalan, jenis serta aliran kerja pelaksanaan e-Invois, selain membimbing peserta mengatasi persepsi bahawa sistem tersebut rumit.
Seminar e-Invois yang diadakan di Kuching ini merupakan sebahagian daripada siri program SUM:e-Invois 2025 yang turut dirancang di Sabah dan Lembah Klang yang juga bertujuan memperluas akses bimbingan kepada lebih ramai usahawan di seluruh negara.
Oleh Masrin Affirah