KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merosot ketara sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020 merupakan prestasi ekonomi yang terburuk di ASEAN, buat masa ini.
Bagi Malaysia, angka berkenaan adalah penguncupan dua angka bagi suku tahunan yang terburuk sejak 1998 atau kira-kira 20 tahun berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan keluar masuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi membendung penularan Covid-19.
Berikutan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus semalam berkata, ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan pada 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.
Di peringkat serantau, Singapura baru-baru ini mengumumkan KDNKnya merosot 13.2 peratus pada suku kedua sekali gus mengalami kemelesetan teknikalnya yang pertama dalam tempoh 11 tahun.
Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu ketika mengeluarkan Prestasi Ekonominya terkininya bagi suku kedua 2020 telah menurunkan unjuran KDNK bagi 2020 iaitu antara -7.0 kepada -5.0 peratus berbanding -7.0 hingga -4.0 peratus.
Pada masa yang sama, ekonomi Indonesia mengalami kemelesetan teknikal pada suku kedua, selepas mengalami kemerosotan KDNK 5.32 peratus, paras terendah yang direkodkan sejak suku pertama 1999.
Kira-kira 3.7 juta individu dilaporkan telah kehilangan pekerjaan tahun ini dengan jumlahnya dijangka mencecah kira-kira 10 juta menjelang akhir tahun ini.
Ekonomi Filipina merosot kepada kemelesetan teknikal bagi tempoh April hingga Jun berikutan KDNK berkurangan 16.5 peratus, penyusutan paling ketara sejak 1981.
Satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan positif pada suku kedua setakat ini, walaupun lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya adalah Vietnam yang berkembang 0.36 peratus dengan Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc memberikan komitmen untuk mengekalkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus.
Negara lain yang belum mengumumkan data suku kedua mereka adalah Thailand yang mengunjurkan ekonomi mereka untuk menguncup 12 hingga 13 peratus yang merekodkan pertumbuhan negatif bagi negara itu.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia dijangka lebih merosot pada 2020 apabila bank itu menyemak semula unjuran tahun penuh 2020 daripada -1.5 peratus kepada -4.0 peratus.
Beliau berkata pandemik tersebut menyebabkan ekonomi terhenti dengan 735 industri merekodkan pengurangan output.
“Memandangkan ekonomi akan terus beroperasi, walaupun secara berperingkat, kita menjangkakan aktiviti-aktiviti ekonomi untuk meningkat pada suku ketiga 2020 dan akan berlanjutan pada tiga bulan terakhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Malah, beliau berkata pengembangan dasar fiskal yang dilaksanakan kerajaan dan pendirian monetari akomodatif oleh BNM akan mendorong ekonomi bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini dan tahun depan. – Bernama