
SIMUNJAN: Keprihatinan terhadap rakyat yang ditimpa musibah dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris apabila beliau bergegas pulang dari Kuching untuk melawat mangsa kebakaran di Kampung Sageng Hilir, di sini, hari ini.
Kebakaran yang berlaku sekitar 2.20 petang itu memusnahkan keseluruhan rumah milik Jemat Engge, 63, sekali gus menyebabkan beliau dan keluarganya kehilangan tempat tinggal serta barangan peribadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam lawatan itu, Awla menyampaikan rasa simpati kepada mangsa serta menghulurkan sumbangan awal berbentuk wang tunai bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
“Saya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa. Insya-Allah, kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyalurkan bantuan kecemasan dan seterusnya mencari jalan untuk membantu membina semula kehidupan beliau,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan pada masa ini adalah memastikan mangsa mendapat perlindungan sementara serta keperluan asas seperti pakaian dan makanan.
Sehubungan itu, Awla turut menggesa orang ramai supaya tampil menghulurkan sumbangan khususnya berupa pakaian dan makanan bagi meringankan beban mangsa sementara menunggu bantuan rasmi disalurkan.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Nazari Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.36 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
Katanya, pasukan bomba menghadapi masalah tekanan air rendah pada peringkat awal operasi, namun api berjaya dikawal dalam masa 10 minit sebelum pemadaman sepenuhnya dilakukan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian sedang dikenal pasti. -UKAS