
SARATOK: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee menegaskan kerja-kerja naik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bollah Kaba perlu dipercepatkan berikutan keadaan bangunan sekolah yang semakin usang.
Sekolah tersebut sebelum ini disenaraikan dalam program sekolah daif di bawah peruntukan RM1 bilion kerajaan Sarawak.
Namun kini projek naik tarafnya akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Kedua (RP2).
“Isu SK Haji Bollah Kaba akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pembangunan Sekolah-Sekolah Sarawak.
“Saya akan menggesa supaya projek ini dipercepatkan memandangkan blok pentadbiran, asrama dan kuarters guru sudah terlalu uzur,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke sekolah itu pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turut menyuarakan kebimbangan sama, menegaskan sekolah berkenaan telah lama menunggu untuk dinaik taraf.
“Dari segi fizikal, suasana pembelajaran dan persekitaran guru di sekolah ini tidak lagi kondusif. Rakyat di kawasan ini amat berharap agar kerajaan segera memberi perhatian,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman