

Mesyuarat Jawatankuasa Regatta Lingga Bil. 2/2025 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Regatta, Frank Lani, di Pejabat Daerah Lingga semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga.
LINGGA: Penganjuran Regata Lingga 2025 yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 November, kini dipinda ke tarikh baharu iaitu pada 12 hingga 14 Disember tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Regatta Lingga Bil. 2/2025 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Regatta, Frank Lani, di Pejabat Daerah Lingga, semalam.
“Perubahan ini terpaksa dilakukan atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan. Pihak jawatankuasa amat kesal atas segala kesulitan yang timbul berhubung perubahan tarikh ini,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat turut meneliti beberapa perkara penting termasuk pindaan tarikh serta penyelarasan acara bagi memastikan kelancaran penganjuran Regata Lingga edisi ketiga itu.
Tambah beliau, Regata Lingga 2025 akan menampilkan 20 acara sukan dan hiburan, selain tiga acara utama membabitkan majlis perasmian, acara kemuncak serta penangguhan temasya.
“Adalah diharapkan penganjuran kali ini dapat berjalan lancar serta mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan pengunjung. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas Dayang Noorazah.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Kaunselor Suhaidi @ Roslan Los yang mewakili ADUN Lingga, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Regatta, Hamizan Yahya, Setiausaha Jawatankuasa, Nurshazani Fadli Salihin, Temenggung Mohd Shah Achang, serta ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).
Oleh Adi Safarman