
MIRI: Masalah air bertakung di beberapa jalan utama sekitar Taman Tunku di sini terus membelenggu penduduk setiap kali hujan lebat melanda, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Antara jalan yang terjejas termasuk Jalan Kuching, Jalan Sibu dan Jalan Limbang, yang sering dilaporkan mengalami masalah aliran air tersumbat.
Seorang penduduk, Desmond Petrus, 42, meminta pihak berkuasa tempatan supaya segera membersihkan longkang dan menyelenggara sistem saliran dengan lebih berkesan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Masalah air bertakung di jalan raya boleh menyebabkan kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Kejadian air bertakung akibat hujan lebat dapat dielakkan jika sistem saliran diselenggara dengan baik.
“Semua saliran, termasuk longkang dan parit perlu dibersihkan dalam tempoh terdekat ini secara berkala untuk mengelak tersumbat,” katanya.
Tinjauan Utusan Sarawak ke beberapa lokasi termasuk Jalan Kuching dan Jalan Sibu mendapati aliran air di kawasan tersebut tidak lancar berikutan longkang tersumbat dengan rumput kering, pasir dan sampah sarap.
Keadaan ini menyebabkan air gagal mengalir ke sistem perparitan dengan baik, sekali gus menyebabkan ia bertakung di atas jalan raya.
Oleh Liong Chai Ling