
SERIAN: Dua maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang terbabas di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Bukit Sabal Tapang, Jalan Serian–Sri Aman, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 9.37 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dengan bantuan BBP Serian digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 54 kilometer.
Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 10.32 pagi, pasukan mendapati terdapat lapan mangsa di dalam kenderaan terbabit.
“Hasil penilaian awal, mendapati dua mangsa yang berada di dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Enam lagi mangsa termasuk seorang bayi mengalami kecederaan namun masih sedar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PGO menjelaskan, operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas berjaya diselesaikan sekitar 10.43 pagi, sebelum semua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Selain usaha menyelamat, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembilasan bagi membersihkan kesan kemalangan di lokasi. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.53 pagi.
Seramai 12 anggota BBP Simunjan dan BBP Serian terlibat dalam operasi tersebut.
Oleh Adi Safarman