
LIMBANG: Pengetahuan dan kemahiran dalam pencegahan kebakaran bukan sahaja penting, malah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengelak kejadian yang boleh memusnahkan harta dan meragut nyawa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang menegaskan bahawa pencegahan kebakaran tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa sahaja. Sebaliknya, setiap individu, keluarga, dan komuniti perlu memainkan peranan aktif.
“Amalan mudah seperti memastikan pili bomba sentiasa dalam keadaan baik, memasang peralatan keselamatan lengkap, serta mengamalkan amalan pengurusan kebersihan yang baik mampu mengurangkan risiko kebakaran dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Bomba Komuniti, Pusat Kebakaran dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Dewan Kampung Limpasong, baru-baru ini.
Program tersebut dihadiri seramai 106 peserta dari 12 kampung sekitar Kawasan Batu Danau.
Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan sepanjang program, termasuk ceramah fungsi dan peranan Bomba Komuniti, latihan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), latihan Skuad i-SURI (Sedia Urus Risiko Isi Rumah), latihan asas pertolongan cemas, serta taklimat keselamatan kebakaran menjelang musim Monsun Barat Daya.
Selain itu, peserta juga menyaksikan demonstrasi pemadaman api dan pameran kebombaan, di samping penyerahan alat pemadam api kepada 12 kampung terlibat.
Dato Paulus turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan program tersebut. Menurutnya, sumbangan ini akan meningkatkan keberkesanan penganjuran dan memperluas capaian keselamatan kepada lebih ramai komuniti.
Program ini juga memperkenalkan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti, yang akan berperanan memperkukuh kesiapsiagaan penduduk, memantau keselamatan kawasan masing-masing, dan memberi respons awal sewaktu kecemasan.
“Dengan adanya pasukan ini, kami berharap masyarakat lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sekali gus mengurangkan kesan buruk kebakaran di kawasan kita,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem.
Oleh Adeng Edrus