
BEKENU: Muhammad Nazif Mohd Anis dan Nazirah Jabri masing-masing dinobatkan sebagai johan Qari dan Qariah dalam Pertandingan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Subis yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, malam tadi.
Bagi kategori Qari, tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Najwan Halim, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad Hanif Mohamed Zamri.
Sementara itu, bagi kategori Qariah, Azah Badengah muncul naib johan, diikuti Sapiah Junaidi di tempat ketiga.
Majlis penangguhan rasmi dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu.


JUARA…Muhammad Nazif Mohd Anis muncul johan Qari dan Nazirah Jabri johan Qariah pada Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Daerah Subis yang diadakan di Masjid Al Mutaqqin, malam tadi.
Dalam ucapannya, Datuk Rosey menegaskan bahawa al-Quran merupakan mukjizat agung yang kekal relevan sepanjang zaman dan menjadi asas dalam pembentukan umat yang berilmu dan berakhlak.
“Dengan berpandukan al-Quran, kita dapat membentuk generasi Ulul Albab, umat yang maju dalam ilmu dan makmur dalam kehidupan berakhlak mulia.
“Semoga syiar Islam terus ditegakkan di bumi Sarawak yang kita cintai ini,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar memperdengarkan bacaan indah ayat suci, malah berperanan penting sebagai panduan hidup.
“Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar medan bacaan, tetapi wahana penghayatan kalam Allah. Semoga dengan penghayatan ini, kita dapat membina Ummah Maju Makmur di Daerah Subis, selaras dengan tuntutan al-Quran sebagai panduan umat,” jelasnya.
Seramai 12 peserta, terdiri daripada enam Qari dan enam Qariah, mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Daerah Subis dengan kerjasama Pejabat Daerah Subis, Pejabat Agama Islam Bahagian Miri, Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin Bekenu, serta sokongan agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Oleh Adum Liu