
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian pinggul selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori enam tan di Kampung Semera Lot Baru, Asajaya, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.08 pagi.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran Ringan (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti Nissan Navara digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada 11.15 pagi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori dan motosikal dengan seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan di bahagian pinggul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Komander Operasi PBK I Nor Aini Usop bersama anggota melakukan pemindahan mangsa ke lokasi selamat sebelum diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Asajaya untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Asajaya bagi rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 11.30 pagi.
Oleh Shikin Mahmud