
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkasa usaha pemuliharaan hidupan liar, khususnya orang utan, sebagai khazanah alam semula jadi yang menjadi identiti negeri ini di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, berdasarkan bancian Jabatan Hutan Sarawak, dianggarkan lebih 1,800 orang utan liar kini hidup di kawasan hutan hujan tropika negeri ini.
“Populasi tersebut tertumpu di kawasan terpilih termasuk Hutan Simpan Lanjak-Entimau dan Taman Negara Batang Ai di Bahagian Sri Aman serta Taman Negara Ulu Sebuyau dan Maludam di Bahagian Betong,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Orangutan Antarabangsa di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mewartakan lebih 230,000 hektar kawasan sebagai hutan perlindungan sepenuhnya untuk memastikan kelestarian habitat orang utan.
“Langkah ini selari dengan komitmen Sarawak dalam pemuliharaan biodiversiti dan mencapai sasaran global terhadap perlindungan spesies terancam,” jelasnya.
“Usaha pemuliharaan ini turut mendapat kerjasama badan antarabangsa termasuk Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Tabung Dunia untuk Alam Semula Jadi (WWF)”, tambahnya.
Pada masa sama, katanya, kejayaan Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang berjaya melahirkan generasi ketiga orang utan secara semula jadi membuktikan usaha jangka panjang kerajaan negeri membuahkan hasil.
“Semenggoh kini menjadi pusat rujukan antarabangsa kerana berjaya membebaskan orang utan ke habitat semula jadi mereka dan dalam masa sama menarik kehadiran pelawat dari seluruh dunia,” ujarnya.
Dalam pada itu, program kesedaran awam seperti Program Angkat Orang Utan ‘Adopt an Orang Utan’ turut diperkenalkan bagi memberi peluang kepada orang ramai dan pihak swasta menyumbang kepada usaha pemuliharaan.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan masyarakat dalam menjaga khazanah alam, malah memberi kesedaran tentang kepentingan orang utan sebagai spesies payung dalam ekosistem hutan hujan tropika,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha pemuliharaan memerlukan komitmen berterusan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menyaksikan keunikan orang utan di Sarawak.