


KUALA LUMPUR: Menggabungkan alunan jaz dan muzik orkestra bukan tugas mudah, namun itulah cabaran yang bakal diangkat dalam konsert ‘A Night of Jazz with the MPO’ di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 4 Oktober depan.
Konduktor Ahmad Muriz Che Rose yang akan memimpin Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berkata cabaran terbesar adalah memastikan keseimbangan bunyi antara alat muzik bertali (strings) dan tiupan supaya harmoni tanpa kedengaran bingit.
“Cabaran nak dapatkan keseimbangan dari segi bunyi sebab atas pentas akan ada banyak alat muzik. Tiupan kebiasaannya jauh lebih kuat daripada strings. Jadi kita kena susun betul-betul supaya gabungan itu kedengaran seimbang dan harmoni,” katanya pada sidang media konsert itu, di sini.
Ahmad Muriz berkata konsert itu juga bakal menampilkan pemuzik profesional antaranya legenda piano tanah air Michael Veerapen, pemain alto saksofon ternama Julian Chan serta Julian Chan Jazz Orchestra (JCJO), selain persembahan Pop n’ Bop vokalis Tony Eusoff dan Junji Delfino.
“Penonton yang hadir pasti kagum kerana kali ini kami bawakan pemain profesional, jadi mereka boleh menjangkakan persembahan tahap lebih tinggi dari segi cara permainan muzik tersebut. Persembahan bertaraf tinggi,” katanya.
Bagi Michael Veerapen, bergandingan dengan MPO bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu cabaran terutama apabila permainan pianonya sesekali terasa tidak seiring dengan gelombang dinamik orkestra.
“Ya, memang sangat mencabar. Contohnya, jika saya memainkan kord dalam cara tertentu, orkestera pula tidak memainkan not sama dan mungkin apa yang saya mainkan berlawanan dengan not muzik orkestera.
“Jadi, yang bagusnya muzik itu tersusun rapi, kord-kordnya jelas terdefinisi, dan saya tahu bila masa yang sesuai untuk bermain atau tidak bermain sesuatu not,” katanya sambil menegaskan proses latihan amat penting bagi memastikan persembahan berjalan lancar.
Sementara itu, Julian Chan berkata walaupun tiada sesi latihan intensif lebih awal, setiap pemuzik yang terlibat berpengalaman luas sekali gus mampu memberikan persembahan bertaraf tinggi.
“Biasanya, muzik akan diberikan lebih awal supaya semua yang terlibat mempunyai masa dan peluang mencukupi untuk mempelajarinya serta berlatih. Disebabkan kami profesional, kami mampu berkumpul pada minggu persembahan, mengadakan beberapa sesi latihan bagi memantapkan persembahan dan kemudian tampil pada hari konsert,” katanya.
Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Route 66, Summertime, That Old Black Magic, I’ve Got You Under My Skin, Sunny, Caravan, selain karya tempatan seperti Heart Of Stone (Greg Lyons), One Last Look (Michael Veerapen), Sepi (David Gomes), Hujan Di Tengahari (P. Ramlee) dan Chendering (Jimmy Boyle).
Peminat boleh mendapatkan tiket konsert berdurasi dua jam itu pada harga bermula RM179 hingga RM449 melalui talian 03-23317007, e-mel di boxoffice@dfp.com.my atau menerusi laman web www.mpo.com.my.– Bernama