
KUCHING: Segalanya bermula sebagai sembang santai di Perlis ketika pertemuan RU 3 telah berkembang menjadi sebuah pengembaraan bermakna yang diberi nama Kembara Borneo 2025.
Idea spontan yang tercetus dalam suasana mesra itu akhirnya membuahkan satu inisiatif besar, satu jelajah yang bukan sahaja menjanjikan pengalaman baharu, malah memperkukuh semangat perpaduan dan jati diri dalam kalangan para peserta.
Kembara Borneo 2025 bukan sekadar sebuah perjalanan merentas bumi Borneo, tetapi simbol semangat kebersamaan yang terjalin daripada persahabatan, minat yang sama, dan keinginan untuk meneroka keindahan serta kepelbagaian budaya di Malaysia Timur.
Program ini lahir daripada keinginan untuk menghubungkan semula rakan-rakan lama yang sudah lama terpisah, terutamanya bekas pelatih dari Semenanjung dan Sarawak.
Menurut Pengerusi Kembara Borneo 2025, Hamdan, ilham untuk menganjurkan program ini tercetus apabila menyedari semakin sukar untuk menghimpunkan rakan-rakan lama di satu lokasi yang sama.
“Kembara ini satu usaha untuk menyatukan kembali bekas pelatih Maktab Perguruan Rajang, Binatang (kini dikenali sebagai IPG Kampus Rajang, Bintangor) dari pengambilan tahun 1982 hingga 1984.
“Menariknya, seramai sekitar 30 pelatih dari Semenanjung Malaysia telah dihantar ke IPG tersebut sebagai sebahagian daripada program Integrasi Nasional pada waktu itu,” jelasnya.

Cerita Hamdan lagi, program ini menyaksikan penyertaan bekas pelatih dari kedua-dua wilayah, Semenanjung dan Sarawak yang pernah menimba pengalaman bersama lebih empat dekad lalu.
Justeru, tercetuslah cadangan untuk melakukan ‘ziarah ukhuwah’ dengan mendatangi tempat rakan-rakan berada.
“Pada 24 Disember 2024, jawatankuasa khas Kembara Borneo 2025 ditubuhkan, melibatkan penganjur dari Semenanjung dan rakan-rakan di Kuching.
“Walaupun tidak dikaitkan dengan ulang tahun atau peristiwa istimewa, matlamat utama program ini jelas mempererat silaturahim di samping menjelajah lokasi menarik di Sarawak melalui laluan Lebih Raya Pan Borneo.

“Program ini turut menjadi jambatan pertemuan semula antara bekas pelatih yang sudah berpisah selama lebih empat dekad,” katanya.
MENELUSURI BUMI KENYALANG
Katanya, laluan kembara dipilih berdasarkan lokasi rakan-rakan yang menetap di kawasan tersebut, selain mempertimbangkan keindahan alam.
“Kembara Borneo 2025 bermula di Kuching dan diteruskan perjalanan dengan singgah serta bermalam di beberapa destinasi utama seperti Sri Aman, Saratok, Kabong, Mukah, Miri, Brunei, Kota Kinabalu, Kundasang, Limbang, Bintulu, Sibu, Serikin, dan berakhir di Teluk Melano, menjangkau tempoh 11 hari perjalanan bermula 7 hingga 17 Ogos 2025.

“Seramai 21 peserta menyertai program ini, terdiri daripada 13 peserta dari Semenanjung dan lapan dari Sarawak. Mereka datang dari pelbagai lokasi seperti Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar, Alor Setar, Kuching, Sarikei dan Igan,” katanya.
Hamdan menjekaskan, walaupun jumlah asal peserta ialah 44 orang, faktor kesihatan dan komitmen keluarga menyebabkan sebahagian menarik diri. Namun, semangat mereka yang meneruskan kembara tetap membara.
“Sambutan di setiap stesen singgahan begitu meriah. Tuan rumah menyediakan jamuan mengikut masa ketibaan – sama ada sarapan, makan tengah hari atau makan malam – selain buah tangan berupa cenderamata dan kudapan tempatan.
“Momen istimewa turut tercatat di IPG Rajang, apabila rombongan disambut oleh Timbalan Pengarah, Pengerusi Alumni dan para pensyarah, diiringi acara penyampaian plak kenangan Sirih Pulang ke Gagang,” katanya.

CABARAN DAN KENANGAN
Hamdan mengakui, cabaran terbesar yang mereka hadapi adalah kematian mengejut Bendahari Kembara Borneo, di samping penarikan diri beberapa peserta.

“Momen paling manis adalah apabila dapat bertemu kembali rakan-rakan selepas 41 tahun berpisah, dengan keakraban yang terasa seolah-olah tiada jarak masa.
“Kenangan paling menyentuh hati pula ialah ketika menziarahi rakan yang diuji masalah kesihatan dan terlantar, membangkitkan rasa syukur dan insaf dalam kalangan peserta.
“Selain merapatkan silaturahim, program ini juga memberi peluang peserta mengenali budaya Sarawak, menikmati hidangan tradisi, dan menyelami kehidupan masyarakat tempatan.
“Malah, ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke tempat seperti Lawas dan Limbang destinasi yang sebelum ini tidak pernah terbayang,” jelas Hamdan sambil menambah peserta rata-rata berpuas hati dengan perjalanan yang lancar, itinerari mesra warga emas, serta kos minimum yang memberikan impak maksimum.
HARAPAN MASA DEPAN
Kejayaan program ini mendorong peserta merancang untuk mengadakan “Kembara Malaya” sebagai kunjungan balas Kembara Borneo 2025.

Harapan Hamdan, silaturahim tidak terhenti selepas berakhirnya program, malah terus dipupuk melalui pertemuan dan kunjungan, walaupun dalam kumpulan kecil.
“Perbezaan etnik dan budaya bukan penghalang, sebaliknya ia menjadi peluang untuk mencari titik persamaan dalam memperkukuh ukhuwah antara warga Semenanjung dan Sarawak,” katanya.
Kemuncak program adalah Majlis Makan Malam Kembara Borneo 2025 – Mapera 82/84 yang berlangsung pada 16 Ogos 2025 di Restoran 46 DiBoyan, Kuching.
Majlis tersebut dihadiri seramai 60 rakan seperjuangan dari Batch 1982–1984, termasuk yang tidak menyertai keseluruhan kembara tetapi hadir khusus untuk meraikan kenangan bersama.


BERGAMBAR di Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang Bintangor (kanan) dan ketika rombongan tiba di Sarikei.
Majlis bertambah istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Besar Perlis, Cikgu Mohd Shukri Ramli, yang juga merupakan bekas pelatih IPG Rajang Batch 1982–1984. Kehadiran beliau menambahkan semangat dan rasa bangga dalam kalangan peserta, mencerminkan kejayaan produk institusi perguruan tersebut.
Oleh YANTI SHAM
