- Bahagian Kedua

MINGGU lepas dibicarakan bagaimana kedudukan Sarawak dalam empayar British dalam kedudukan yang tidak jelas. Dalam pendekatan imperialisme dan kolonialisme, kedudukan Sarawak agak janggal.
Kejanggalan ini kerana kebiasannya sesebuah kuasa atau negara tertentu yang menguasai sesebuah negara atau kawasan seperti British di India, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia.
Tetapi berbeza di Sarawak apabila seorang pelayar berbangsa Eropah yang memerintah wilayah ini.
Raja James Brooke sering menjelaskan bahawa ia sebuah kerajaan merdeka dan perlu mendapat pengiktirafan dunia.
Namun Raja James Brooke masih lagi warganegara British. Dalam hal ini, Raja James Brooke cuba meminta pengiktirafan tersebut dari kerajaan British.
Pada masa sama beliau menggunakan pendekatan lain untuk menjadikan Sarawak koloni kepada kuasa asing yang lain.
Namun usaha ini tidak berjaya menarik minat kuasa luar selain British untuk menjajah Sarawak. Atas sebab itu beliau masih menaruh harapan untuk mendapat pengiktirafan dari kerajaan British.
Dasar tidak campur tangan
Namun Pejabat Tanah Jajahan tidak begitu berminat dengan usaha meluaskan pengaruh di Sarawak. Hal ini boleh dikaitkan dengan dasar tidak campur tangan British di negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu.

Arahan dari London jelas menasihatkan gabenor negeri-negeri Selat supaya tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu.
Walaupun terdapat dasar ini pegawai Britsih di negeri-negeri Selat kadangkala campur tangan di negeri-negeri Melayu. Salah satu contohnya pembedilan di Terengganu pada 1862.
Hanya pada 1874 barulah usaha bersungguh-sungguh British untuk campur tangan di Tanah Melayu kerana kepentingan ekonomi dan strategik.
Keadaan berbeza di Sarawak apabila Raja James Brooke meminta British menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan tidak mendapat sambutan yang baik dari kerajaan British.
Pada masa sama, Sarawak menjalin pula hubungan dengan Amerika Syarikat pada 1850.
Keadaan ini tidak memberi impak dalam hubungan Sarawak dan Britain. Perjalanan hubungan antara mereka masih berjalan seperti biasa.
Walaupun British tidak menunjukkan minat untuk menjadikan Sarawak sebagai koloni tetapi kerajaan British tetap mempertahankan kedudukan Raja James Brooke di Sarawak daripada bantahan Belanda.
Salah satu sebab yang menyebabkan hal ini berlaku kerana British melihat nilai yang akan diperoleh jika menjadikan Sarawak sebagai koloni.
Untuk mewujudkan sesebuah koloni memerlukan perbelanjaan besar dalam mendirikan pentadbiran dan mentakbir sesebuah tanah jajahan.
Sarawak walaupun mempunyai simpanan antimoni tetapi masih tidak dapat menarik minat pedagang-pedagang British di negeri-negeri Selat untuk mendesak London campur tangan di Sarawak.
Fokus
Dalam hal ini fokus utama British dilihat kepada India dan Tanah Melayu. Apabila terdirinya Singapura sebagi pusat pentadbiran dan membentuk pula negeri-negeri Selat, maka fokus lebih ke arah Tanah Melayu.

Kekayaan bijih timah di Perak, Selangor dan Sungai Ujong menjadi tarikan utama pedagang-pedagang British ini.
Salah satu sebab lagi mengapa Sarawak ditinggalkan daripada kepentingan perdagang walaupun ada antimoni adalah keberadaan Belanda di Kalimantan.
Oleh itu British tidak secara terburu-buru untuk memperluaskan pengaruhnya kerana hal ini akan menimbulkan konflik dengan kerajaan Belanda.
Kemungkinan Sepanyol di Filipina juga akan terkesan dalam pengaruh British di Borneo. Hal ini satu strategi yang menjadi sebab campur tangan itu tidak dijelas di Sarawak.
Apa yang dilakukan pula hanyalah perlu memberi sokongan kepada Raja James Brooke untuk terus berkuasa di Sarawak dengan tujuan membenteras ‘lanun’.
Hal ini menjadi kedudukan Raja James Brooke di Sarawak agak janggal dalam empayar British.
Pemohonan
Dasar British yang tidak jelas ini tidak dapat menyenangkan hati Raja James Brooke. Beliau mahu agar satu dasar lebih mantap dalam menjamin kedudukannya di Sarawak.
Seperti dijelaskan sebelum ini usaha beliau ini mula mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Britian iaitu Viscount Palmerston.
Namun usaha meyakinkan kerajaan British ini masih mendapat halangan daripada Setiausaha Luar British iaitu Lord Clarendon.
Keadaan ini menyebabkan kedudukan Sarawak tidak jelas dalam dasar British. Dalam satu segi, Raja James Brooke mengatakan ia sebuah kerajaan bebas.
Namun beliau meminta kerajaan British untuk menjadikan Sarawak tanah jajahan dengan syarat menghormati agama, undang-undang dan adat resam penduduk tempatan.
Beliau juga meminta pampasan ganti rugi bagi harta peribadi yang telah dibelanjakannya untuk Sarawak selama ia memerintah negara tersebut.
Beliau juga menuntut kehilangan hasil pendapatan pada masa hadapan apabila Sarawak diserahkan kepada British.
Pemohonan beliau ini walaupun mendapat sokongan tetapi menjadikan Sarawak sebagai koloni telah ditolak oleh kerajaan British. Penolakan ini tidak mematikan hasrat Raja James Brooke untuk terus memohon Sarawak dijadikan naungan British.
Desakan
Belum sempat kerajaan British dibawah pimpinan Viscount Palmerston memberi jawapan kepada Raja James Brooke, kerajaan bertukar di London. Penganti Palmerston adalah Edward Smith-Stanley iaitu Lord Derby.
Dibawah pimpinan Lord Derby ini terdapat juga desakan daripada pemain-pemain industri dan pedagangan dari Manchester, Liverpool dan Glasgow meminta agar dipertimbangkan pemohonan daripada Raja James Brooke.
Pemintaan daripada pemain industri dan pedagang ini dikaitkan dengan kerisauan mereka tentang ada campur tangan kuasa asing di Sarawak.
Namun Lord Derby masih berpendangan bahawa tentera laut British sebuah kuasa unggul di di Laut China.
Oleh itu, Britain boleh menguasai perdagangan dan perniagaan di ‘wilayah-wilayah tersebut’ dan tidak ada apa yang perlu ditakuti daripada pihak lawan pada waktu perang.
Kenyataan Lord Derby ini menunjukkan bahawa kerajaan British belum lagi berminat memberi pengiktirafan kepada kerajaan Sarawak. Hal ini akan disambungkan pada keluaran akan datang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.