
KOTA SAMARAHAN: Di sebalik kesibukan sebagai penjawat awam di Jabatan Pertanian, Nur Muazzin Zanai, 34, masih setia berdiri di hadapan kuali panas setiap malam, memanggang daging burger hasil resipi sendiri.
Bukan sekadar makanan, burger itu adalah warisan keluarga yang sudah berakar sejak zaman bapanya yang merupakan antara penjual burger terawal di kampungnya.
“Saya mula jual burger selepas habis SPM 2009. Masa tu ikut jejak bapak. Walaupun berhenti sekejap sebab sambung belajar, akhirnya saya sambung semula apabila sudah bekerja.
“Sekarang ni, dengan kos sara hidup makin tinggi, saya jadikan ini sumber pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, semalam.
Muazzin mengaku bukan mudah membahagikan masa antara kerja pejabat dan berniaga kerana setiap hari, selepas pulang kerja, dia masih perlu membeli barang, memotong bahan, menyiapkan sos istimewa dan hanya mampu membuka gerai selepas isyak.
“Penat memang penat tetapi saya akan curi masa untuk rehat sekejap jika ada kelapangan. Kalau ada pelanggan, semangat datang semula apabila tengok orang suka dengan burger saya.
“Gerai saya juga antara yang paling lambat tutup di kampung kerana saya tahu, peluang rezeki mungkin datang saat akhir pada lewat malam,” jelasnya.

Apa yang membuatkan MB Muazzin Burger terus bertahan ialah keunikan resipi di mana daging dibuat hasil air tangan sendiri, begitu juga timun jeruk dan sos pula diracik untuk kelainan rasa.
“Sambutan pelanggan sekarang alhamdulillah, ada orang luar kampung pun sanggup datang dari sekitar Samarahan ni. Mereka cuba dan dating membeli lagi.
“Kiranya sasaran pelanggan saya bukan hanya dalam kampung, ada jugak pelanggan dari luar cari saya.
“Ramai pelanggan cakap burger saya ni lain. Ada yang kata, ‘ini baru burger ngam dengan tekak saya’. Itu jadi kekuatan saya untuk terus jual. Bagi saya, kualiti lebih penting daripada harga murah,” ujarnya.

Ketika COVID-19 melanda, Muazzin tidak menyerah. Beliau menukar menu kepada ‘roti john’ tempahan dan hasilnya cukup lumayan hingga mampu membeli peti ais baharu hanya dengan hasil sebulan berniaga.
“Gerai saya buka pun sebelah dewan. Jadi bila ada majlis dekat dewan memang tidak menang tangan, semua burger habis licin dan itulah kenangan manis bagi saya saat menjual burger.
“Hari ini, pendapatan hasil berniaga sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan. Walaupun tidak sebesar gaji tetapi bagi saya ia cukup untuk menambah rezeki dan meringankan beban,” ceritanya.

Impian Muazzin kini ialah menjadi pembekal daging buatan sendiri kepada peniaga lain dan juga memiliki sebuah kedai kecil di depan rumah agar lebih mudah menyimpan bahan dan melayan pelanggan dengan selesa.
“Buat anak muda yang ingin berniaga, bisnes memang ada risiko. Kena sabar. Kalau tak sekarang rezeki datang, mungkin nanti. Tuhan pandai atur,” nasihatnya.
Dari warisan seorang bapa, kini MB Muazzin Burger terus hidup bukan sekadar menjual makanan tetapi menjadi lambang ketekunan, kesabaran, dan cinta pada rezeki yang halal.
Oleh Masrin Affirah