
BINTULU: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus melakukan pemantauan pasca penyerahan Projek Menaik Taraf Sekolah Menengah (SM) Vokasional Bintulu kepada Kolej Vokasional Bintulu.
Langkah ini bagi memastikan kontraktor melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh tanggungan kecacatan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya memandang serius aspek penyelenggaraan selepas penyerahan projek kerana ia penting untuk menjamin keselamatan, keselesaan dan kelancaran penggunaan fasiliti oleh warga kolej.
“Kontraktor jangan banyak kerenah apabila diminta memperbetulkan kecacatan. Semua aduan mesti ditangani segera kerana kita mahu menyempurnakan projek ini dengan sebaiknya.
“Budaya kerja berkualiti mesti dipertingkatkan tanpa pengecualian,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek berkenaan di Kolej Vokasional Bintulu, hari ini.
Projek bernilai RM21.5 juta itu berjaya disiapkan 49 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa memerlukan lanjutan masa (EOT), hasil kerjasama erat antara JKR, kontraktor dan pasukan perunding.
Menurut Nanta, kemudahan berkenaan boleh digunakan serta-merta selepas menerima kelulusan Bomba dan Permit Menduduki (Occupation Permit).
Ia turut dilengkapi pelbagai bengkel baharu termasuk Bengkel Seni Kulinari, Fesyen, Kosmetologi, Elektrik, Elektronik, Reka Bentuk Berbantukan Komputer (CAD), ‘Mock Office’, Pendawaian dan Teknologi Kimpalan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Bahagian HOPT dan HODT JKR, kontraktor Asarajaya Sdn Bhd, pasukan perunding profesional serta semua warga kerja yang menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
“Kejayaan projek ini membuktikan aspirasi kerajaan MADANI diterjemahkan melalui tindakan, projek berkualiti, siap tepat pada masanya serta memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Kerajaan, katanya, berharap Kolej Vokasional Bintulu akan menjadi pusat melahirkan generasi cemerlang di Sarawak, bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, malah akhlak dan sahsiah diri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada majlis itu, Nanta turut menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima projek antara Pengarah Urusan Asarajaya Sdn Bhd, Halim Mohamad selaku kontraktor utama dengan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Masyati Abang Ibrahim serta wakil JKR Sarawak.
Oleh Carolyne Utih