
BATU NIAH: Program Jelajah Warisan 2.0 sempena Pesta Niah 2025 anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak mendapat sambutan memberangsangkan apabila 24 daripada 25 slot penyertaan diisi oleh peserta tempatan dan antarabangsa.
Warisan Gua Niah merujuk kepada kepentingan sejarah dan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Miri, Sarawak.

Pada Julai 2024, Gua Niah telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana gua ini mengandungi rekod interaksi manusia dengan hutan hujan yang terpanjang, menjangkau lebih dari 50,000 tahun, serta penemuan fosil manusia purba dan lukisan batu prasejarah.
Menurut kenyataan SFC di Facebook hari ini, perjalanan bermula seawal 9.00 pagi dengan hentian pertama (singgah) di Gerai Kraftangan Tangap yang direka oleh masyarakat Iban yang rumah panjang mereka berdekatan dengan Gua Niah.

“Kemudian para peserta meneruskan penjelajahan ke destinasi utama termasuk Gua Lukisan (Lukisan Dinding) yang mempesonakan, Gua Besar yang megah, dan Gua Pedagang yang sarat nilai sejarah.
“Pengembaraan itu berakhir di Muzium Arkeologi Niah, tempat yang menampilkan koleksi dan paparan warisan berwawasan, sekali gus memberikan pengalaman mendalam mengenai sejarah dan kebudayaan kawasan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, sepanjang acara, peserta berpeluang menikmati penjelasan berpandu eksklusif daripada pakar, yang membuka jendela pengetahuan baharu tentang keunikan warisan Niah.
Justeru itu, penganjuran ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pengunjung, malah turut mengangkat kepentingan pemeliharaan khazanah sejarah dan budaya Niah sebagai destinasi pelancongan warisan dunia, jelasnya lagi.