
KUCHING: Syarikat kimia terkemuka Jepun, HighChem telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pengendali bas tempatan, Biaramas, bagi mempercepatkan pelaksanaan penggunaan bas hidrogen di Sarawak, baru-baru ini.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha negeri ini menuju ke arah sistem pengangkutan mampan dan bebas karbon.
Melalui MoU tersebut, HighChem akan memberi sokongan menyeluruh terhadap sistem bas hidrogen termasuk penjualan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan enjin sel bahan api agar integrasi teknologi itu berjalan lancar serta berfungsi secara optimum.
Selain itu, program latihan khusus untuk kakitangan Biaramas akan dilaksanakan meliputi pengetahuan sistem, enjin sel bahan api serta bengkel penyelenggaraan, sekali gus membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang teknologi hidrogen.
HighChem juga akan bertindak sebagai penasihat strategik dengan menawarkan kepakaran dalam aspek pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan dan aplikasi hidrogen, bagi menyokong inisiatif hidrogen Sarawak secara menyeluruh.
Presiden HighChem Company Limited, Ushio Taka berkata kerjasama dengan Biaramas menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat terhadap pembangunan mampan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Dengan menggabungkan solusi inovatif kami bersama keupayaan operasi Biaramas, kami yakin dapat menyumbang secara signifikan kepada matlamat Sarawak dalam pengangkutan berasaskan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Biaramas, Lai Sin Kiong berkata kerjasama itu membolehkan pihaknya mengakses teknologi hidrogen terkini serta kepakaran yang diperlukan.
“Langkah ini membolehkan kami menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lebih mesra alam dan boleh dipercayai untuk rakyat Sarawak. Ia juga bukti dedikasi kami terhadap masa depan yang lebih hijau,” katanya.
Kerjasama HighChem-Biaramas ini dijangka memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan, pengubahsuaian dan perolehan bas hidrogen, seterusnya menyokong aspirasi Sarawak untuk memperluas pengangkutan awam berasaskan tenaga hijau.