SIBU: Penyelesaian masalah banjir di kawasan tebingan Sungai Rajang dan Igan amat memerlukan perlaksanaan kerja tinjauan dan kajian.
Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ia adalah berikutan terdapat berlakunya perubahan dalam dasar dan lebar sungai.
“Pengurusan air dan perancangan dasar tidak boleh berdasarkan situasi sejarah, sebaliknya ia perlu mempertimbangkan keadaan aktiviti masa kini yang akan memberikan kesan kepada masa hadapan,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut berkongsi pengalamannya tentang perubahan berlaku di dalam dasar sungai sepanjang tempoh beberapa dekad.
“Perairan Sungai Rajang dan Igan sekarang tidak dapat surut ketika air surut kerana kedua-dua sungai tersebut mengalami perubahan lebar untuk mengalirkan air.
“Ke mana banjir akan terjadi ketika air yang dikeluarkan dari empangan tidak dapat dialihkan dengan selamat?.
“Inilah sebabnya saya berulang kali menegaskan agar tinjauan dilakukan terlebih dahulu,” ujarnya.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu turut memberitahu akibat aktiviti manusia di hulu telah menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan tersumbat.
“Kita perlu mempertimbangkan kesejahteraan rakyat dan bukannya hanya kata-kata atau membuat kenyataan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman