
BEBERAPA tahun lalu, kita pernah mendengar pengumuman mengejutkan mengenai rancangan untuk membangunkan kereta terbang tempatan di Malaysia.
Tidak semena-mena berita ini segera menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Sebahagian masyarakat teruja dengan prospek memiliki kenderaan futuristik, namun lebih ramai yang skeptikal dengan mempersoalkan kemampuan dan kesesuaian projek sedemikian untuk negara kita.
Hakikatnya, impian untuk memiliki kereta terbang bukanlah perkara baru dalam sejarah teknologi pengangkutan.
Konsep ini sebenarnya telah wujud sejak lebih seratus tahun lalu iaitu seawal abad ke-20 selepas kejayaan Wright Brothers pada 1903.
Pada 1917, seorang perintis penerbangan bernama Glenn Curtiss telah mencipta prototaip pertama yang dinamakan Autoplane.
Kenderaan ini merupakan percubaan awal untuk menggabungkan ciri-ciri kereta dan pesawat terbang.
Autoplane dicipta dengan sayap yang boleh ditanggalkan ketika digunakan sebagai kereta.
Kereta konsep ini mampu terangkat dari tanah, namun ia sekadar membuat lompatan-lompatan singkat dan bukanlah terbang sepenuhnya.
Seterusnya, dalam dekad 1940-an, perkembangan teknologi kereta terbang mengalami kemajuan ketara dengan beberapa prototaip yang berjaya dihasilkan.
Era ini menyaksikan kelahiran beberapa model yang bukan sahaja mampu terbang, malah ada yang berjaya mendapat pengesahan rasmi dari Pentadbiran Aeronautik Awam (CAA) iaitu badan pengawal penerbangan Amerika Syarikat pada masa itu.
Salah satu model terkenal pada zaman ini ialah ConvAirCar iaitu sebuah kenderaan unik yang menggunakan kereta konvensional sebagai asas dan dipasangkan dengan sayap serta ekor pesawat.
Walaupun sempat berjaya melakukan penerbangan, projek ini akhirnya menemui kegagalan setelah mengalami kemalangan pada peringkat ujian.
Kemalangan ini menjadi titik tolak yang menghentikan pengeluaran besar-besaran kenderaan tersebut.
Model lain yang mencuri tumpuan ialah Airphibian hasil ciptaan Robert Fulton.
Keistimewaan Airphibian terletak pada kemampuannya menukar mod antara kereta dan pesawat hanya dalam beberapa minit.
Bahagian kapal terbang yang dipasang sayap dan enjin boleh dipisahkan dari bahagian depan yang berfungsi sebagai kereta konvensional.
Bahagian kereta ini dapat memuatkan sehingga dua orang penumpang yang sesuai untuk penggunaan peribadi.
Kejayaan teknikal ini diakui apabila Airphibian berjaya mendapat kelulusan terbang daripada CAA bagi menjadikannya salah satu prototaip kereta terbang pertama yang diiktiraf secara rasmi.
Namun begitu, potensi komersialnya terbantut kerana kos pengeluaran yang terlalu tinggi untuk pasaran pada masa itu.
Menyusul seterusnya adalah Aerocar ciptaan Moulton Taylor yang menjadi ikonik dalam sejarah kereta terbang.
Aerocar menampilkan reka bentuk inovatif dengan sayap yang boleh dilipat dan mempunyai fleksibiliti yang lebih baik berbanding model-model sebelumnya.
Pencapaian ini hampir membawa Aerocar kepada kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang menggantikan CAA pada ketika itu.
Malangnya, kekurangan minat pelabur menyebabkan projek bernilai tinggi ini terpaksa dihentikan.
Walaupun berdepan dengan banyak kegagalan, impian untuk melihat kereta terbang direalisasikan tetap diteruskan dalam abad ke-21 melalui ciptaan yang lebih moden seperti Moller Skycar, PAL-V Liberty dan Terrafugia Transition.

Ketiga-tiga kenderaan ini menggabungkan teknologi penerbangan dan pemanduan darat, namun masih banyak perkara yang perlu di atasi sebelum ia benar-benar dapat dibina secara komersial.
Sebuah kereta terbang yang ideal harus menggabungkan dua fungsi utama dengan sempurna.
Pertama, ia perlu beroperasi sebagai kenderaan darat yang dapat mematuhi semua peraturan jalan raya seperti kereta biasa.

Kedua, ia harus memiliki kemampuan penerbangan penuh yang setanding dengan pesawat konvensional.
Konsep ini jauh berbeza dengan kenderaan eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing) yang sedang dibangunkan oleh syarikat seperti Joby Aviation, Volocopter dan EHang.
Perbezaan utama antara kereta terbang sebenar dengan teknologi eVTOL yang ‘terapung’ ini terletak pada beberapa aspek penting.
Kereta terbang sebenar memerlukan sistem roda yang berfungsi penuh untuk pengoperasian di jalan raya serta sayap sama ada tetap atau boleh lipat untuk menghasilkan daya angkat aerodinamik.
Ia juga memerlukan sistem kawalan yang mengintegrasikan ciri-ciri kedua-dua kenderaan darat dan pesawat udara.
Teknologi eVTOL yang ada sekarang pula mempunyai beberapa kelemahan sebagai kereta terbang sebenar.
Kenderaan ini tidak mampu beroperasi sebagai kenderaan jalan raya konvensional kerana ketiadaan sistem penyerap hentakan dan roda yang mencukupi.
Malah reka bentuk aerodinamiknya juga terhad khusus untuk penerbangan sahaja dan sangat bergantung pada infrastruktur khas untuk beroperasi.

Namun, kereta terbang yang ideal berdepan dengan beberapa kekangan melibatkan teknikal dan pengkomersialan.
Contohnya bagi kereta yang dipasangkan sayap yang tetap, ia akan menimbulkan masalah ruang fizikal.
Sayap kereta yang lebar akan menyebabkan dimensi kenderaan melebihi lebar jalan raya standard.
Hal ini akan menimbulkan isu praktikal dalam pengoperasian harian.
Sayap yang terpasang secara kekal ini bukan sahaja menyukarkan pergerakan di jalan raya konvensional, malah boleh menimbulkan bahaya dalam persekitaran bandar yang padat.
Keadaan ini secara tidak langsung memerlukan jalan raya khas untuk pelepasan dan pendaratan yang pastinya mengakibatkan kos pembinaan infrastruktur yang sangat besar.
Selain itu, keperluan untuk mengekalkan nisbah kuasa-berat yang optimum memerlukan enjin yang cukup berkuasa untuk memberikan tujahan stabil tanpa membebankan struktur keseluruhan.
Tambahan lagi, kenderaan ini perlu cukup ringan untuk terbang tetapi cukup kukuh untuk menahan tekanan pendaratan dan gaya pemanduan di jalan raya.
Keadaan ini adalah dilema utama yang dihadapi oleh pembuat kereta terbang kerana jika enjin yang kurang berkuasa, ia tidak dapat menghasilkan tujahan mencukupi, sementara enjin yang terlalu berkuasa akan meningkatkan berat secara mendadak sehingga menjejaskan kecekapan aerodinamik.
Walaupun mungkin menggunakan bahan komposit berketumpatan rendah seperti gentian karbon dapat memberikan kedua-dua sifat yang diperlukan, namun kos yang perlu ditanggung adalah sangat tinggi.
Cabaran teknikal ini hanyalah sebahagian daripada isu yang perlu diatasi.
Namun, aspek pengkomersialan menjadi rintangan yang lebih besar dengan pelbagai kekangan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh sebelum kereta terbang dapat direalisasikan secara meluas.
Isu keselamatan adalah kebimbangan utama.
Apabila mengendalikan kenderaan tiga dimensi memerlukan kemahiran setaraf juruterbang berlesen, termasuk penguasaan kawalan altitud, kelajuan dan sudut serangan untuk kekal di udara.
Bayangkan risiko yang dihadapi jika pemandu tanpa latihan khas memandu kenderaan ini pada ketinggian 100 meter di udara, cukup dengan kesilapan yang kecil, padah kemalangan tidak akan dapat dielakkan.
Selain itu, pencemaran persekitaran dengan pelepasan karbon juga tidak dapat dielakkan sekiranya enjin berasaskan bahan api fosil dipasang pada kereta ini.
‘Enjin’ yang dikuasakan oleh elektrik pula terhad oleh kapasiti bateri semasa yang tidak mencukupi untuk jarak penerbangan yang praktikal.
Dari segi perundangan, proses kelulusan yang ketat boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk memastikan keselamatan reka bentuk dan operasi.
Kos pembangunan yang mencecah jutaan ringgit seunit pastinya menjadikan harga akhir tidak terjangkau bagi kebanyakan pengguna.
Walaupun konsep kereta terbang masih dalam fasa penyelidikan dan pembangunan, industri perfileman seringkali menggambarkan ia sebagai teknologi yang sudah sempurna dan mudah diakses.
Dalam banyak karya fiksyen sains seperti ‘Blade Runner 2049’, ‘The Fifth Element’ dan ‘Back to the Future Part II’, kereta terbang ditampilkan sebagai kenderaan harian yang bergerak lancar di antara bangunan pencakar langit dengan operasi yang nampak mudah dan intuitif.
Namun, gambaran-gambaran idealistik ini menyembunyikan banyak realiti teknikal yang kompleks.
Pertama, dari segi fizik penerbangan, adegan-adegan kereta terbang berhenti secara tiba-tiba di udara atau membuat olah gerak tajam adalah melanggar prinsip asas aerodinamik dan hukum gerakan Newton.
Dalam realiti, setiap perubahan halaju atau arah memerlukan pertimbangan teliti terhadap daya angkat, graviti dan inersia.
Kedua, aspek pengurusan trafik udara yang hampir tidak pernah ditunjukkan dalam filem.
Sistem kawalan lalu lintas udara untuk ribuan kenderaan peribadi di ruang tiga dimensi memerlukan algoritma yang jauh lebih kompleks daripada sistem jalan raya biasa.
Filem juga gagal menunjukkan infrastruktur sokongan yang diperlukan seperti stesen pengisian tenaga, pusat kawalan trafik dan zon untuk berlepas atau mendarat secara khusus.
Masalah dalam aspek bunyi juga sering diabaikan. Kenderaan terbang sebenar menghasilkan tahap kebisingan antara 80-100 desibel iaitu setara dengan bunyi mesin pemotong rumput atau jentera pembinaan, tapi ia digambarkan senyap dalam filem.
Bayangkan beribu-ribu kenderaan lalu-lalang pada pelbagai ketinggian, pastinya akan menimbulkan masalah pencemaran bunyi yang serius di kawasan bandar.
Faktor cuaca juga boleh menggugat kestabilan penerbangan seperti angin kencang, hujan lebat atau kabus tebal seolah-olah tidak terkesan ke atas kereta di dalam filem.
Hakikatnya dalam realiti, keadaan meteorologi akan memberi kesan besar terhadap keselamatan operasi kereta terbang.
Perbezaan ketara antara fantasi filem dan realiti teknikal ini penting untuk difahami oleh orang awam.
Walaupun teknologi kereta terbang terus berkembang, masih terdapat jurang besar antara apa yang ditunjukkan di layar perak dengan apa yang benar-benar boleh dicapai dalam masa terdekat.
Oleh itu, tidak salah untuk terus berimpian memiliki kereta terbang, namun adakah kita sempat memandunya dalam tempoh abad ini?
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.