SERIAN: Pengguna jalan raya di sepanjang Jalan Padawan bakal menggunakan jalan yang lebih selamat dan selesa setelah siapnya Projek Menaik Taraf Jalan Padawan (Fasa 1), Tapah Bahagian Serian pada September depan.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf serta membesarkan jalan kepada dua jalan berhala bertaraf R3 sepanjang lebih kurang 15 kilometer (km).
“Fasa 1 akan memberikan jalan lebih selamat dan selesa serta kemudahan kepada penduduk kampung sekitar dari Kampung Simpok hingga Teng Bukap,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya mewakili Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing pada Majlis Pelancaran Projek Menaiktaraf Jalan Padawan (Fasa 1) Bahagian Serian bertempat di Dewan Serbaguna Tapah, di sini, semalam.
Julaihi berkata, sebenarnya, jalan tersebut adalah dikirakan lebih kurang 30km, dan disebabkan itu projek terpaksa dibahagikan kepada Fasa 1 dan Fasa 2.
“Namun, secara keseluruhan kos projek jalan raya ini melibatkan juga kos lain seperti memerlukan pemindahan utiliti sepanjang jalan dan kos lain.
“Kos pembinaan saja berjumlah RM34.9 juta dan dengan kos lain terlibat, jumlah kos akan mencecah RM55 juta.
“Oleh itu, saya bersetuju dengan rayuan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Rolans Sagah Wee Inn bahawa fasa 2 memerlukan kos tambahan,” ujar Julaihi.
Beliau mengatakan kini projek tersebut berjalan lancar sejak September 2019 dan dijangka siap dalam jangka masa 30 bulan.
“Kita harap dalam masa pembinaan dan masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, penduduk tempatan akan bagi kerjasama kepada pekerja dalam menjalankan tugas disamping mematuhi garis panduan semasa PKPP.
“Kita menjangkakan projek ini walaupun tergendala sekejap, ia dapat berjalan lancar selepas ini,” katanya.
Beliau turut mengatakan usaha menaik taraf jalan di Sarawak adalah usaha Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu pemimpinnya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Saya yakin kawasan luar bandar akan terus dapat bercahaya dengan siapnya Jalan Padawan fasa 1 ini nanti,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna