
KUCHING: Sarawak melakar sejarah baharu pengangkutan sungai dengan pelancaran Projek E-Penambang yang memperkenalkan perahu tambang elektrik rendah karbon sambil mengekalkan nilai warisan.
Sebanyak sembilan perahu tambang sedia ada telah dinaik taraf dengan sistem kenderaan elektrik (EV) dan sebuah stesen pengecasan solar dirasmikan di Jeti Pontoon Kampung Sungai Bintangor.
Projek diterajui Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), Pusat Kecemerlangan Sarawak (CENTEXS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Projek berkenaan bermula pada April lalu dan dijangka siap sepenuhnya Jun 2026.
Di bawah pelaksanaannya, SEB memasang sistem EV pada 12 perahu tambang sedia ada serta membina dua stesen pengecasan solar, manakala CENTEXS dan UTM membangunkan 10 perahu tambang baharu lengkap dengan sistem EV.
E-Penambang menggunakan pendorong elektrik berkuasa bateri litium yang beroperasi senyap, tanpa pelepasan karbon dan menjimatkan kos lebih 80 peratus berbanding enjin petrol.
Selain itu, projek ini turut menampilkan stesen pengecas solar terapung pertama di Sarawak berkapasiti 19.84kWp dengan 10 titik pengecasan di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
Pelaksanaan E-Penambang membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap agenda penyahkarbonan, pembangunan ekonomi hijau dan integrasi bandar pintar, sekali gus menjadikannya model inovasi mobiliti sungai yang menggabungkan teknologi moden dengan tradisi.