BAU: Pembangunan pertanian di kawasan pedalaman perlu dilaksanakan secara berkelompok supaya pembangunan infrastruktur ladang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tanaman secara berkelompok itu memerlukan kemahiran dan pengetahuan teknikal yang kukuh supaya ia dapat mengeluarkan hasil seperti yang dijangkakan.
“Oleh itu, Program Pengembangan Community Extension Outreach (CEOP) akan dipergiatkan supaya lebih ramai penduduk di pedalaman dapat manfaat daripada program pengembangan seperti teknologi penanaman, cara untuk mengawal makhluk perosak dan juga amalan pertanian baik (myGAP) .
“Kerajaan berharap dengan CEOP ini lebih ramai petani akan dapat meningkatkan hasil pertanian, justeru meningkatkan pendapatan supaya mencapai RM4,000 sebulan sekeluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis CEOP di Dewan Serbaguna Kampung Kopit, Bau semalam.
Tambahnya, program itu dilaksanakan atas dasar Kerajaan Sarawak untuk merapatkan hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian (khususnya Kerajaan) dan golongan keluarga tani di kawasan pedalaman.
Kerajaan Negeri Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM9 juta untuk melaksanakan program pengembangan sebegini di seluruh Sarawak, tegas beliau.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memberitahu, kementerianny meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk kawasan Serembu yang akan memanfaatkan seramai 198 orang dalam tanaman kelompok dan projek ternakan.
“Demi mencapai visi Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan menjelang 2030, kita perlu berganding bahu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan.
“Petani di Bau mesti mengambil peluang ini untuk memajukan industri pertanian. Ini adalah kerana sayur-sayuran dan buah-buahan masih tidak mencukupi dan belum dapat memenuhi permintaan pasaran,” jelasnya.
Seramai 250 peserta menghadiri program CEOP itu yang merangkumi dua sesi taklimat iaitu ‘Taklimat Penggunaan Racun Makhluk Rosak Tanaman Secara Selamat’ dan ‘Program Taklimat myGAP’ yang disampaikan oleh Pegawai dari Pusat Penyelidikan Semenggok.