HALBA mungkin asing bagi sesetengah orang, selain ditambah ke dalam masakan untuk menambah keenakan hidangan, tidak ramai yang tahu mengenai manfaatnya dari sudut kesihatan.
Halba adalah sejenis pokok rempah yang mempunyai daun berwarna hijau muda dan bunga putih yang kecil manakala pohon halba tumbuh kira-kira dua hingga tiga kaki tinggi, dan pod bijinya mengandungi 10 hingga 20 biji yang kecil yang rata, berwarna kuning-coklat, berasa pedas dan bersifat aromatik.
Fenugreek atau halba yang berbentuk butiran kecil berwarna coklat banyak digunakan dalam bahan menu berempah dan kebiasaannya digunakan sebagai rempah dalam pelbagai masakan terutama yang berasal dari Timur Tengah.
Selain itu, negara seperti India, Pakistan dan Sri Lanka juga sering menggunakan halba dalam rempah masakan mereka seperti kari dan gulai, tidak kurang di Malaysia, beberapa makanan seperti nasi dagang turut menjadikan halba antara bahan dalam hidangan.
Kebiasaannya, halba pada masakan digunakan selepas disangai atau digoreng tanpa minyak dan dimasukkan ke dalam masakann kerana ia memberikan aroma yang enak.
Banyak kebaikan halba pada kesihatan seperti daun digunakan sebagai herba dan biji pula digunakan sebagai rempah, biji ini mempunyai rasa yang agak pahit, mirip dengan saderi, sirap mapel atau gula yang terbakar, dan sering digunakan untuk membuat ubat.
Selain masakan, penggunaan biji halba termasuk dalam ramuan jamu di Indonesia, selain jamu yang diminum, ada juga menjadikan halba salah satu bahan untuk berendam atau digunakan dengan dijadikan pes yang digunakan keatas permukaan kulit untuk membantu menyembuhkan keradangan.
Kebaikan halba untuk kesihatan
Walaupun saiz agak kecil, tetapi ia kaya dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia antaranya menggalakkan pengeluaran susu yang mana Penyelidikan dalam Journal of Alternative and Complementary Medicine, New York, berjaya menyimpulkan bahawa dengan pengambilan teh halba untuk diet boleh membantu golongan ibu dalam meningkatkan pengeluaran susu.
Halba juga mengurangkan simptom menopaus kerana mengandungi diosgenin dan isoflavon estrogenik, yang sama dengan hormon seks wanita, estrogen.
Kehilangan estrogen boleh menyebabkan gejala menopaus oleh itu, dengan memakan halba boleh membantu mengurangkan simptom menopaus seperti perubahan mood, kemurungan, kekejangan, dan rasa lapar yang tidak normal.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam The British Journal of Nutrition menunjukkan bahawa penggunaan kebaikan halba mempunyai keberkesanan dalam membantu mengurangkan tahap kolesterol LDL (buruk) dengan ketara, yang boleh menghalang pelbagai keadaan seperti aterosklerosis, serangan jantung, dan strok.
Ia adalah sumber serat yang kaya, yang menghancurkan kolesterol yang berlebihan daripada arteri dan saluran darah badan.
Selain itu, kebaikan halba yang lain adalah mempunyai ciri-ciri anti karsinogenik, terutamanya berkaitan dengan kanser payudara dan pencegahan kanser kolon kerana steroid diosgenin yang terdapat dalam herba ini telah dikaitkan secara khusus dengan pencegahan kanser kolon.
Dalam beberapa kajian lain, halba telah didapati menunjukkan kesan antikanser dan juga boleh membantu menggalakkan apoptosis atau kematian sel yang telah diprogram.
Selain itu, teh halba juga dikatakan dapat mengurangkan ketagihan rokok dan dadah malah baik untuk mengurangkan penyakit anemia, caranya adalah dengan merebus biji halba dan air rebusannya ditambah madu yang diminum sebagai minuman teh.
Banyak khasiat lain halba yang diamalkan nenek moyang kita dulu untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan.
Antara khasiat halba dipercayai dapat melancarkan haid, melegakan sakit kepala atau migrain, membuang angin, buasir, senggugut, merangsang rahim, mengurangkan berat badan, mengawal kencing manis serta mengurangkan radang kulit.
Oleh Zarina Abdullah