
KAPIT: Peranan wanita Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negeri terus diperkukuh apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM33 juta bagi menyokong usaha keusahawanan mereka sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sokongan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan wanita Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM955,000 disalurkan menerusi Skim Dana Niaga Wanita (DANAnita) dan setakat Julai lalu, seramai 26 usahawan wanita telah menerima manfaatnya,” katanya ketika merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Bahagian Kapit 2025 di Dewan Suarah Kapit, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan seramai 243 usahawan menerima pembiayaan MARA berjumlah RM30.1 juta, dengan 92 daripada mereka merupakan usahawan wanita yang mendapat dana sebanyak RM6.8 juta.
Dalam majlis sama, Rubiah turut mengumumkan bahawa sembilan usahawan wanita dari Kapit menerima pembiayaan berjumlah RM377,700 melalui beberapa skim MARA, sekali gus membuktikan peluang yang semakin luas untuk golongan itu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Selain bantuan kewangan, katanya, MARA turut menyediakan sokongan lain seperti ruang niaga dan latihan.

Sehingga Julai tahun ini, jelasnya, sebanyak 383 ruang niaga disediakan di seluruh Sarawak dengan kadar pengisian 96 peratus, membabitkan 158 usahawan wanita.
“Usahawan ini berjaya mencatat jualan keseluruhan bernilai RM53.4 juta dan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan. Ini adalah bukti nyata bahawa wanita kini bukan sahaja mampu berdikari, malah turut menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara,” katanya.
Dalam menghadapi cabaran era digital, Rubiah berkata, MARA turut menyalurkan peruntukan RM1.2 juta untuk program digitalisasi keusahawanan melibatkan inisiatif seperti MERIT, BEST, DIGITALBIZ dan ADAPT, yang setakat pertengahan tahun ini telah memberi manfaat kepada 398 usahawan dengan jumlah geran RM875,000.
Selain bidang keusahawanan, beliau menjelaskan MARA juga memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan menerusi pembinaan Kampus Baharu Kolej Profesional MARA di Kapit bernilai RM90 juta yang dimulakan Jun lalu.
Kampus itu dijangka menempatkan 350 pelajar Diploma lepasan SPM apabila siap kelak.
“MARA akan terus memperkukuh peranan wanita melalui Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Komuniti MARA 2025-2030 yang mengandungi 17 inisiatif strategik. Wanita hari ini bukan lagi hanya di dapur, sebaliknya menjadi antara tulang belakang ekonomi negara,” katanya.
Turut hadir, Ahli Majlis MARA Siti Ajar Yasin, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Zahari Aziz, Pengarah MARA Sarawak Razu Abdul Razak dan wakil Residen Bahagian Kapit Caroline John Sikie.
Oleh Tarani Lanting