
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah melaksanakan program penyerahan surat tawaran lot kediaman bagi memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Program ini melibatkan Skim Penempatan (SP) Lusut dan Koloni Pujut Corner, yang berlangsung pada 14 Ogos lepas bertempat di Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri.
Unit Perhubungan Awam JTS Bahagian Miri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan komprehensif untuk menangani isu petempatan tidak terancang secara holistik.
Katanya, program yang dirangka adalah berdasarkan pendekatan libat urus pelbagai pihak ini melibatkan kerjasama strategik antara Residen Bahagian Miri sebagai Pengerusi Jawatankuasa, JTS Bahagian Miri selaku Setiausaha Jawatankuasa, Pejabat Daerah Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Water Sdn Bhd.
“Pelaksanaannya selari dengan Dasar Perumahan Negeri Sarawak dan kerangka tindakan Jawatankuasa Pengurusan dan Penyelesaian Setinggan Negeri (JPPSN).
“Sebanyak 426 surat tawaran telah dikeluarkan kepada penduduk yang layak bagi
penempatan di SP Lusut.
“Proses penyerahan surat tawaran dilakukan secara simbolik melalui enam wakil komuniti yang dipilih, bertindak sebagai wakil penduduk untuk memastikan ketelusan penyampaian maklumat berkaitan terma dan syarat pemilikan lot,” jelas kenyataan itu.

Sesi kedua program melibatkan relokasi terancang 230 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Koloni Pujut Corner, yang dikenal pasti sebagai antara kawasan keutamaan di bawah Fasa I pelan JPPSN Bahagian Miri.
Pemindahan ini dilaksanakan dengan pendekatan berfokuskan rakyat menggabungkan elemen keselamatan hak milik dan akses kepada infrastruktur asas.
“Usaha penyelesaian setinggan di Bahagian Miri ini tidak berhenti setakat ini. Penyerahan surat tawaran kepada penempatan setinggan lain yang telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak akan dilaksanakan secara berfasa dan berperingkat selepas ini.
“Inisiatif ini bukan sekadar memenuhi objektif jangka pendek penyelesaian setinggan
tetapi juga menyumbang kepada pembangunan mampan, pemerkasaan sosial serta kestabilan ekonomi,” ujarnya.
Tindakan proaktif kerajaan Sarawak ini memperlihatkan keselarasan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan Wawasan Sarawak Maju 2030.
Oleh Liong Chai Ling