
KANOWIT: Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 bukan sekadar aktiviti riadah sebaliknya menjadi simbol keharmonian dan kekuatan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr Stephen William berkata, tema ‘Harmoni dalam Kepelbagaian’ jelas dizahirkan di Sarawak khususnya di Kanowit yang menjadi contoh masyarakat pelbagai etnik hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan meraikan perbezaan.
“Di sini kita ada Iban, Melayu, Cina, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan banyak lagi. Kita bukan sekadar bertolak ansur tetapi meraikan perbezaan ini. Sama seperti kayuhan hari ini, walaupun basikal berbeza warna dan gear, hala tuju kita sama iaitu bergerak maju bersama,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di Pejabat Daerah Kanowit hari ini.
Beliau berkata aktiviti kayuhan tersebut turut memberi mesej bahawa kesihatan fizikal dan sosial dapat digerakkan seiring selain melambangkan semangat kebersamaan.

“Negara yang bersatu ibarat satu pasukan kayuhan. Kalau semua kayuh sama laju, kita sampai lebih cepat. Kalau ada yang tertinggal, kita tunggu dan tolong. Inilah semangat Malaysia, inilah semangat Sarawak, kita tidak tinggalkan sesiapa di belakang,” katanya.
Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 dianjurkan Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Agenda Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta Semarak Bulan Kemerdekaan 2025.
Kayuhan yang bermula pada 4 Ogos di Simpang Mengayau, Kudat, Sabah itu dijadual berakhir di Teluk Melano, Lundu pada 18 Ogos ini melibatkan 28 lokasi persinggahan dengan jarak keseluruhan 1,868.2 kilometer.
Seramai 10 peserta mengambil bahagian, melalui beberapa lokasi utama di Sabah dan Sarawak sebelum tiba di Kanowit sebagai salah satu destinasi persinggahan. Oleh Tarani Lanting