Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Tuai Rumah disaran tubuh persatuan tuntut tindakan segera terhadap isu infrastruktur
  • Tengah
  • WILAYAH

Tuai Rumah disaran tubuh persatuan tuntut tindakan segera terhadap isu infrastruktur

Utusan Sarawak 2 days ago
TANDA INGATAN…Edwin (kiri) menerima cenderamata berupa sebilah parang ‘Ilang’ daripada Balahin selepas merasmikan tapak rumah panjang baharu di Pasai Siong Tengah di Sibu, baru-baru ini.

SIBU: Ketua kaum atau Tuai Rumah disaran agar menubuhkan Persatuan Tuai Rumah bagi memperkukuhkan peranan mereka sebagai pemimpin akar umbi dan memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta berkata, penubuhan persatuan sedemikian bukan sahaja memudahkan urusan menyuarakan isu rakyat, malah memberi kekuatan kolektif kepada ketua kaum dalam menangani masalah di peringkat komuniti.

“Saya sering kali menasihatkan agar Tuai Rumah menubuhkan persatuan. Ia bukan untuk menambah beban, tetapi untuk memperkasakan peranan tuai rumah dalam membantu rakyat.

“Misalnya, jika berlaku kerosakan jalan ladang atau jalan kebun, persatuan ini boleh menggesa pihak bertanggungjawab bukan hanya menunggu tindakan daripada wakil atau menteri,” katanya ketika merasmikan tapak baharu Rumah Balahin Blaja Dickson di Pasai Siong Tengah di sini, baru-baru ini.

Majlis itu turut disertai kira-kira 30 Tuai Rumah dari kawasan sekitar Pasai Siong dan Daerah Selangau.

Beliau menegaskan, ketua kaum perlu memainkan peranan aktif dalam mendesak syarikat atau individu yang menyebabkan kerosakan agar segera membaiki kemudahan awam yang terjejas.

“Siapa sebenarnya yang merosakkan jalan-jalan tersebut? YB atau syarikat? Ini yang perlu ditangani bersama secara tersusun melalui satu badan yang sah seperti Persatuan Tuai Rumah,” tambah beliau.

Selain menggesa penubuhan persatuan, beliau turut menggalakkan ketua kaum untuk lebih proaktif dalam urusan rasmi termasuk menyalurkan permohonan kepada kementerian dan jabatan berkaitan contohnya permohonan pengukuran tanah milik anak-anak buah bagi mendapatkan hak milik yang sah.

Dalam usaha memperluas pengetahuan dan pengalaman pemimpin masyarakat, Edwin turut menganjurkan lawatan sambil belajar bagi ketua kaum dan ketua masyarakat ke dalam dan luar negeri.

“Sebagai contoh, pada 19 hingga 21 September 2024, saya telah membawa 40 ketua kaum menghadiri perayaan 100 Tahun Rumah Panjang Samu di Betong. Ini bukan sekadar makan dan minum, tetapi ruang untuk bertukar pandangan serta belajar bagaimana menjadi pemimpin komuniti yang lebih baik,” katanya.

Malah, beliau menggalakkan agar Persatuan Tuai Rumah yang bakal ditubuhkan turut merancang sendiri lawatan-lawatan ilmiah ke tempat-tempat sesuai sebagai salah satu usaha pembangunan kapasiti kepimpinan.

Dalam majlis sama, Edwin turut menyerahkan peruntukan RM24,000 sebagai bantuan awal pembinaan rumah panjang baharu Rumah Balahin yang merupakan satu langkah menyokong infrastruktur asas komuniti di kawasan luar bandar.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: KMJG 2025 cerminkan komitmen MADANI dan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030
Next: Jambatan Sungai Lingga hampir siap, capai kemajuan 99.56 peratus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.