
BINTULU: Tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni bagi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak membina masyarakat penyayang dan inklusif selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, Malaysia MADANI menekankan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menghayati semangat patriotik melalui tiga teras utama iaitu pemikiran progresif, integrasi sosial yang menghormati kepelbagaian unik Sarawak serta pembangunan ekonomi inklusif.
“Rakyat Disantuni pula adalah lambang komitmen kerajaan dalam membina negara berteraskan nilai-nilai murni kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sosial untuk semua.
“Bagi Sarawak, konsep Rakyat Disantuni ini amat bermakna. Ia menjamin tiada wilayah atau komuniti akan terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Marilah kita bersama-sama menyokong agenda pembangunan ini demi merealisasikan visi bersama kita: Sarawak Makmur, Malaysia Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program KMJG 2025 di Wisma Kontena, Pelabuhan Bintulu di sini hari ini.
Iskandar turut mengajak rakyat Sarawak, khususnya Komuniti MADANI dan warga Pelabuhan Bintulu menyertai kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada tanah air.
“Inilah peluang terbaik bagi kita menzahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada tanah air melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap rumah,” katanya.
Perjalanan KMJG 2025 sejauh 1,810 kilometer melibatkan 22 lokasi di seluruh Sarawak singgah kali kedua di Bintulu hari ini selepas persinggahan pertama pada 11 Ogos, sebelum meneruskan perjalanan Fasa ke-2 menuju ke Tatau.
Oleh Carolyne Utih