
KUCHING: Penyanyi berbakat dengan vokal yang tersendiri, Afif Tenor, tampil dengan karya terbaharunya berjudul Di Bawah Langit Kuching sempena sambutan Hari Bandaraya Kuching.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan dan penulisan lirik oleh Sudirsobri Musar, berjaya menterjemahkan keindahan serta kedamaian bandar raya Kuching melalui lirik yang puitis dan irama jaz kontemporari memukau.
Menariknya, lagu ini diterbitkan secara ‘indie’ dan bebas oleh CMWP, sebuah label tempatan Sarawak yang aktif memperjuangkan bakat seni anak jati negeri ini.
Mengakui bahawa kos pemasaran bagi sebuah single bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditanggung, Afif berharap agar lagu ini mendapat sokongan padu daripada para pendengar, terutamanya warga Sarawak, agar karya tempatan terus mendapat tempat dan pengiktirafan sewajarnya.
Afif Tenor bukanlah nama asing dalam arena muzik tempatan. Beliau pernah meraih tempat ketiga dalam program realiti TVS Getaran Jiwa 2022 dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah GJ Pilihan Jiwa, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyanyi yang disegani di Sarawak.

Beliau juga aktif membuat persembahan di pelbagai acara korporat, majlis kerajaan serta lokasi popular seperti Nek Go, menjadikan beliau wajah yang dikenali dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Di Bawah Langit Kuching mengajak para pendengar menyelami keindahan dan ketenangan bandar raya Kuching — dari bayu Laut China Selatan hingga ke panorama mempesona di tebingan Sungai Sarawak sambil menyampaikan mesej kasih sayang, ketulusan, dan harapan.
Antara bait lirik yang paling menyentuh jiwa berbunyi:
“Pegang tanganku jangan pernah lepaskan,
Aku bawa kamu ke bandar raya Kuching,
Di sini ada jiwa yang kau rindukan,
Menghapuskan semua resahmu.”
Afir Tenor berharap lagu ini menjadi sebuah karya yang dekat di hati warga Kuching, serta simbol kasih dan penghargaan terhadap ibu negeri Sarawak yang kaya dengan budaya, sejarah dan keindahan semula jadi.
Sebagai pelengkap kepada pelancaran lagu ini, sebuah video lirik eksklusif yang menampilkan rakaman drone indah bandar raya Kuching telah pun dimuat naik di saluran rasmi YouTube Afif Tenor.
Video muzik rasmi pula dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, dengan visual sinematik yang penuh emosi bagi memperkayakan lagi pengalaman mendengar.
Di Bawah Langit Kuching kini boleh distrim dan dimuat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Afif Tenor di media sosial rasmi beliau.