
KOTA SAMARAHAN: Festival Integriti Peringkat Bahagian Samarahan 2025 yang berlangsung hari ini di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak menjadi ruang penting bagi menegaskan iltizam pentadbiran daerah dalam memerangi rasuah serta memperkukuh nilai integriti.
Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, berkata integriti adalah nilai asas yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu, bukan sahaja untuk mencapai kejayaan peribadi tetapi juga demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

“Semua penjawat awam digesa menunaikan amanah dengan penuh integriti demi mencapai matlamat Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2030.
“Pentadbiran Bahagian Samarahan daripada pelbagai jabatan, sama ada kerajaan negeri atau persekutuan, amat komited menegakkan integriti dan mengekalkan tadbir urus korporat yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan festival tersebut di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran Festival Integriti 2025 merupakan kesinambungan usaha sejak Majlis Ikrar Bebas Rasuah dilaksanakan beberapa tahun lalu.
“Bermula pada 2023 sebagai Hari Integriti peringkat dalaman, ia berkembang pada 2024 dengan aktiviti ‘pengukuhan pasukan’ sebelum diperluas ke peringkat bahagian melibatkan pelbagai jabatan dan agensi tempatan,” katanya.

Tahun lalu, program ini mendapat suntikan inspirasi daripada mantan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkongsi pengalaman luas serta pesanan penting mengenai pengukuhan integriti.
Menampilkan tema Zon Bebas Rasuah, festival tahun ini mencerminkan aspirasi menjadikan Bahagian Samarahan sebagai contoh daerah yang menolak rasuah sepenuhnya dan mengamalkan tahap integriti tinggi di semua lapisan masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang festival, termasuk sesi perkongsian motivasi oleh personaliti terkenal negara, Amin Idris, yang menyuntik semangat warga Samarahan untuk terus membudayakan integriti.
Penganjur yakin usaha berterusan seperti ini mampu membina komuniti teguh, berprinsip dan bebas daripada gejala rasuah sekali gus menjadi model teladan kepada daerah lain di Sarawak.
Turut hadir, Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohammad Salleh, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali, wakil Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Hiu Kee Seng serta wakil Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Mazllin Belaja.
Oleh Norman B