
KUCHING: Malam Amal Festival Kuching 2025 bukan sahaja diraikan dengan semangat kebersamaan dan kutipan derma untuk membantu golongan memerlukan, malah menjadi pentas penghargaan kepada pemenang pertandingan gerai berhias serta taman dan landskap sekolah.
Pertandingan Gerai Berhias Terbaik dinilai oleh tiga pakar daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Sarawak, berdasarkan kreativiti, daya tarikan visual, kekemasan, kebersihan, paparan makanan, pemakaian pengendali makanan yang sesuai serta pematuhan peraturan majlis.
Bagi Kategori 4 (Half Stall), gelaran juara diraih oleh Gerai No. 222A milik Bay Yung Shen, manakala Kategori 3 (Single Stall) dimenangi oleh Gerai No. 267 milik Kho Wei Shen.

Dalam Kategori 2 (Premium Stall), pemenang tempat pertama ialah Gerai No. 255 milik Tracy Yong Ning, sementara Kategori 1 (Double Stall) dimenangi Gerai No. 211-212 milik 16th Street Sdn. Bhd., diusahakan oleh Lai Lang Nee.
Anugerah Penderma Sumbangan Amal Tertinggi 2025 pula disandang oleh Gerai No. 213-214 milik Hoon Teck Choi yang berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM14,338.80.
Selain itu, pertandingan Taman dan Landskap Sekolah turut menyerlahkan kreativiti serta usaha pelajar menghijaukan kawasan festival.
Bagi Kategori B (Sekolah Rendah), tempat pertama dimenangi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Apong yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta trofi.
Manakala Kategori A (Sekolah Menengah) menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuching No. 1 meraih gelaran juara dengan hadiah wang tunai RM4,000 berserta trofi.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dalam ucapannya memuji semua pemenang kerana telah membuktikan bahawa makanan bukan sahaja memuaskan selera, malah boleh menjadi hidangan yang memanjakan mata.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha pelajar menghijaukan persekitaran festival melambangkan komitmen generasi muda terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Sebuah bandar gastronomi juga perlu menjadi sebuah bandar hijau. Semangat cintakan alam sekitar yang ditunjukkan para pelajar adalah harapan untuk memastikan keindahan Kuching kekal terpelihara,” katanya
Oleh Adele Rissa