
SRI AMAN: Seramai 95 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk petani, pesara, suri rumah, ibu tunggal serta lepasan sekolah, menyertai program pemerkasaan komuniti melalui peningkatan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, program itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Ini termasuk menyasarkan pembentukan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kita bukan sekadar mengajar kemahiran, tetapi membina keyakinan, menggalakkan keusahawanan dan mencipta laluan ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Sama ada memulakan perniagaan kecil, kerjaya baharu atau sekadar kegembiraan belajar, setiap kemahiran yang diperoleh hari ini adalah peluang untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu, hari ini.
Beliau menambah, program ini juga menyokong sasaran PCDS 2030 untuk memastikan 20 peratus graduan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.
“Perkara ini merangkumi latihan kemahiran insaniah bagi memastikan peserta kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar,” jelasnya.
Program tersebut anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan kerjasama Sarawak Skills berlangsung selama dua hari.

Empat kursus jangka pendek ditawarkan iaitu Asas Penanaman Hidroponik menggunakan Teknik Filem Nutrien (NFT), Asas Pembuatan Roti, Bun dan Pastri, Asas Pendawaian Elektrik serta Pembuatan Barang Kemas (Seramik).
Dibiayai melalui geran khas MEITD, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada sekali gus membuka ruang untuk menambah pendapatan.
Bagi ramai peserta, penyertaan dalam program itu menjadi titik perubahan hidup daripada menanam sayur hidroponik untuk pendapatan sampingan, memulakan perniagaan bakeri dari rumah, hinggalah menghasilkan barang kemas buatan tangan yang unik.
Majlis penutupan diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sesi cabutan bertuah, meninggalkan suasana penuh keterujaan dan optimisme dalam kalangan peserta.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD, Adana Jed, Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani dan Timbalan Pengarah Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat, Sarawak Skills, Amy Francis Najur.