SHEILA ZAIDI
KUCHING: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Perusahaan Mikro (MEs) yang tidak layak mendapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) disarankan untuk memohon Skim Kredit Mikro berjumlah RM50 juta.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pinjaman berkenaan adalah bebas faedah untuk tiga tahun enam bulan dan permohonan boleh dikemukakan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.
“Skim Kredit Mikro menetapkan syarat yang kurang ketat berbanding pinjaman bank-bank biasa dan pinjaman ini juga bebas faedah untuk tempoh tiga tahun enam bulan.
“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.254 bilion di bawah Bantuan Khas SarawakKu Sayang 1.0 dan 2.0 yang dilihat akan memberi ‘talian hayat’ kepada rakyat, PKS, perusahaan mikro , penjaja dan peniaga kecil-kecilan semasa tempoh mencabar ini,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Tengah, beliau ada menerima beberapa maklum balas daripada PKS dan perniagaan kecil yang tidak layak mendapatkan mendapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM).
Justeru, katanya, mereka dipelawa untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pinjaman bebas faedah di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 10 April lalu.
Ketika mengumumkan bantuan khas itu, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri menyediakan pinjaman pada kadar faedah rendah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan Maybank, Hong Leong Bank dan RHB di bawah SRF dengan menyerap kos faedah yang akan dikenakan ke atas lebih 40,000 PKS di negeri ini.
Tambah Tengah, Kerajaan Negeri telah mengumpul lebihan kewangan yang mencukupi untuk membantu rakyat dan komuniti perniagaan dalam keadaan krisis seperti sekarang.
Oleh demikian, katanya, rakyat perlu berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana sangat prihatin kepada keperluan rakyat di negeri ini.
“Landskap perniagaan telah berubah secara dramatik dan menggesa PKS dan perusahaan mikro di negeri ini untuk mengubah model perniagaan mereka.
“Komuniti ini perlu lebih kreatif dan inovatif dengan menggerakkan perniagaan dalam talian dan memanfaatkan teknologi seperti pendigitalan dan automasi,” katanya.
Sebagai contoh pada bulan Ramadan akan datang, PKS dan penjaja kecil-kecilan boleh menerusan perniagaan mereka dalam talian menerusi pelbagai platform e-bazar menerusi pandu lalu, ‘pack & pick’ dan e-hailing, ujar Tengah.
Perkara ini seharusnya digalakkan kerana bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun ini ekoran wabak Covid-19, katanya.