PEMAIN pelapis perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencuri tumpuan apabila menewaskan bekas pemain negara, Liew Daren pada saingan pembukaan Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2020 di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini.
Bekas juara remaja Asia yang muncul juara Divisyen 2, Jumaat lalu, bangkit daripada kekalahan set pertama 15-21 sebelum menang 21-14 dan 21-16 dalam pertarungan ‘rubber-set’ lebih sejam itu.
“Saya sudah menjangkakan saingan sengit tetapi tidak memikirkan lawan. Sebaliknya hanya mahu menampilkan persembahan terbaik pada setiap perlawanan.
“Sasaran adalah untuk muncul empat pemain terbaik dan kejayaan ini menyuntik semangat untuk memburu kejayaan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Seorang lagi pemain pelapis, Ng Tze Yong turut melakarkan persembahan cemerlang dengan menundukkan bekas pemain negara, Soong Joo Ven, 21-18, 21-12.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak menghadapi masalah untuk menewaskan naib juara Divisyen 2, Lim Chong King 21-14, 21-9 pada saingan pusingan awal.
Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soh Huat dan Shevon Jemie Lai terpaksa undur daripada kejohanan selepas Soon Huat mengalami kecederaan otot di bahagian belakang ketika ketinggalan 4-6 pada set kedua menentang gandingan muda Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.
Soon Huat dan Jemie Llai menang set pertama 21-13.
BAM menganjurkan kejohanan jemputan itu secara tertutup bagi memastikan pemain negara kekal kompetitif susulan pembatalan beberapa kejohanan antarabangsan ekoran pandemik Covid-19.
Seramai 52 pemain termasuk lapan pemain profesional negara bersaing dalam kejohanan pusingan ‘round-robin’ yang berakhir Ahad ini. – Bernama